BAITULMAQDIS, 27 SAFAR – Ketika Israel berusaha memperluas serangan ketenteraan di Gaza, suasana negara itu yang berubah selepas hampir dua tahun konflik dapat diukur melalui rasa tidak puas hati dalam kalangan sebahagian pasukan simpanan yang dipanggil bertugas semula.
Tidak lama selepas serangan 7 Oktober 2023 oleh kumpulan pejuang Hamas di selatan Israel, rakyat Israel meninggalkan segala urusan, bulan madu, pengajian dan kehidupan baharu di luar negara untuk pulang dan berperang.
Kini, ada yang meluahkan kekecewaan terhadap pemimpin politik yang menghantar mereka semula ke medan perang, ketika tentera bersiap untuk menguasai Bandar Gaza, pusat bandar terbesar di wilayah itu.
Menurut kajian Agam Labs di Universiti Hebrew yang mengukur sentimen terhadap kempen baharu itu melibatkan lebih 300 anggota pasukan simpanan, 25.7 peratus menyatakan motivasi mereka merosot dengan ketara berbanding permulaan perang.
Lagi 10 peratus berkata motivasi mereka menurun sedikit.
Apabila ditanya mengenai perasaan terhadap kempen itu, kumpulan terbesar, iaitu 47 peratus, menyatakan emosi negatif terhadap kerajaan dan cara pengurusan perang serta rundingan tebusan.
Pada Mac lalu, sebelum serangan terbaharu diumumkan, media Israel Ynet melaporkan jumlah pasukan simpanan yang melapor diri adalah 30 peratus lebih rendah daripada sasaran yang ditetapkan komander tentera.
Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, berikrar untuk memusnahkan Hamas selepas serangan 7 Oktober 2023 yang disifatkan sebagai hari paling berdarah bagi orang Yahudi sejak Holocaust, dengan 1,200 orang terbunuh dan 251 dijadikan tebusan di Gaza.
Namun perang berlarutan, Hamas terus melawan dan rakyat Israel mengecam Netanyahu kerana gagal mencapai perjanjian bagi membebaskan tebusan walaupun banyak usaha pengantaraan dijalankan.
Perang ini sepenuhnya politik
Pasukan simpanan turut menyertai ribuan rakyat Israel dalam mogok besar-besaran Ahad lalu, antara protes terbesar menyokong keluarga tebusan, menuntut Netanyahu mencapai perjanjian dengan Hamas bagi menamatkan perang dan membebaskan baki tawanan.
Antara penunjuk perasaan marah itu, Roni Zehavi, seorang juruterbang simpanan yang berhenti berkhidmat atas prinsip selepas lebih 200 hari bertugas apabila gencatan senjata terakhir gagal.
Beliau berkata, ketika pasukan simpanan dikerah, mereka melaksanakan semua arahan tanpa bantahan. Namun, kemudian timbul persoalan seperti “ke mana semua ini akan berakhir?”.
Pasukan simpanan menuduh kerajaan meneruskan perang demi kepentingan politik.
“Perang ini sepenuhnya politik, tiada tujuan lain kecuali memastikan Netanyahu kekal sebagai perdana menteri,” katanya kepada Reuters.
“Dia sanggup melakukan apa sahaja, mengorbankan tebusan dan askar, rakyat mati semata-mata untuk dia dan isterinya terus berkuasa. Inilah tragedi negara Israel, dan inilah realitinya.”
Pejabat Perdana Menteri tidak segera memberikan sebarang komen.
Netanyahu setakat ini menolak gesaan supaya ditubuhkan siasatan negara yang boleh melibatkan dirinya mengenai kegagalan keselamatan pada 7 Oktober.
Katanya, siasatan tidak wajar dilancarkan selagi perang masih berlangsung. Beberapa sekutu kanan ekstremnya mengugut untuk menjatuhkan kerajaan jika perang ditamatkan tanpa mencapai semua matlamat yang diumumkan.
Apabila Israel memanggil 360,000 pasukan simpanan selepas serangan 7 Oktober, mobilisasi wajib terbesar sejak Perang Yom Kippur 1973, ia menerima sambutan luar biasa.
Namun, suasana dalam kalangan sebahagian pasukan simpanan kini nyata berbeza.
“Saya tidak akan menjadi sebahagian daripada sistem yang tahu ia akan membunuh tebusan. Saya tidak sanggup menanggungnya. Saya benar-benar takut, hingga tidak dapat tidur malam,” kata seorang paramedik tempur. Dia enggan dikenali kerana tidak dibenarkan bercakap secara terbuka.
Menurut saluran Channel 12 Israel, tentera merancang memanggil 250,000 lagi pasukan simpanan untuk serangan ke atas Bandar Gaza.
Israel kehilangan 898 askar dan ribuan lagi cedera dalam perang Gaza, konflik terpanjang sejak perang 1948 yang mengiringi penubuhan negara itu. Tindak balas ketenteraan Israel terhadap serangan Hamas pula membunuh lebih 61,000 orang di Gaza, termasuk ramai kanak-kanak. – REUTERS
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi