BANGI, 27 SAFAR – Lima remaja didakwa menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Kanak-Kanak, Kota Kinabalu, hari ini.
Dalam prosiding tertutup, mereka yang berumur bawah 18 tahun dengan identiti masing-masing tidak boleh didedahkan mengikut Akta Kanak-kanak 2001, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus.
Mengikut pertuduhan, mereka dituduh dalam mencapai niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara Qairina yang mana perkataan itu didengari yang mungkin menyebabkannya berasa terganggu dengan perkataan berkenaan, antara jam kira-kira 10 hingga 11 malam 15 Julai lalu di sebuah sekolah di Papar.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, ketika ditemui wartawan di luar mahkamah memberitahu, setiap tertuduh terbabit dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan deposit RM1,000 dan seorang penjamin warga tempatan.
Menurutnya, hanya perkara itu boleh didedahkan, manakala perkara lain berkaitan prosiding tidak boleh didedahkan berikutan perintah larangan yang dikeluarkan mahkamah.
Selain Nor Azizah, pihak pendakwaan dibarisi Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim dan Deepa Nair Thevaharan.
Sementara itu,pasukan peguam, Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang daripada tertuduh berkenaan. Baki empat tertuduh diwakili oleh peguam, Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 September dan 16 Oktober depan, manakala pendengaran kes bermula 8 hingga 12 Disember serta 15 hingga 19 Disember.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi