BANGI, 27 SAFAR – Lima remaja perempuan akan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, hari ini, iaitu pertuduhan pertama berkaitan kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Berdasarkan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, mereka yang berusia bawah 18 tahun akan didakwa atas tuduhan mengugut dengan mengeluarkan perkataan bersifat mengancam mengikut Seksyen 507c(1) Kanun Keseksaan.
Prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak dijangka dilakukan secara tertutup.
Mengikut Seksyen 507c(1) Kanun Keseksaan, pertuduhannya adalah berhubung menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada seseorang yang berkemungkinan berasa terganggu, tertekan, takut atau cemas.
Seksyen itu menyebut, sesiapa dengan apa cara atau melalui apa-apa kaedah, menggunakan atau membuat ugutan dengan mengeluarkan perkataan atau komunikasi bersifat mengancam, menghina atau mengaibkan, atau melakukan apa-apa perbuatan yang mengancam, menghina atau mengaibkan.
Selain itu, perkataan, komunikasi atau perbuatan itu didengar, dilihat atau sebaliknya disedari oleh seseorang yang berkemungkinan berasa diganggu, tertekan, takut atau cemas akibat daripada itu, boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan sudah meneliti kertas siasatan polis dan membuat keputusan menuduh beberapa individu yang terbabit dalam kes buli itu berdasarkan keterangan yang ada.
Menurut kenyataan itu, keputusan menuduh suspek bagi kesalahan buli dibuat kerana ia tidak akan menjejaskan prosiding inkues kematian Zara Qairina yang akan dijalankan di mahkamah.
AGC juga menegaskan, walaupun pertuduhan kesalahan buli dilakukan, siasatan polis berhubung kematian Zara Qairina tetap diteruskan termasuk prosiding inkues.
Pelajar tingkatan satu, Zara Qairina disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya.
Kematiannya mendapat simpati pelbagai pihak yang mahu pihak berkuasa menyiasat kes terbabit secara menyeluruh bagi mencari kebenaran insiden berkenaan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi