China pamer kekuatan tentera, senjata teknologi tinggi pada perbarisan PD2

BEIJING, 27 SAFAR – China akan menganjurkan perbarisan tentera besar-besaran bulan depan di tengah bandar raya untuk  memperingati 80 tahun Perang Dunia Kedua (PD2) tamat, dengan menggerakkan puluhan ribu orang serta mempamerkan senjata yang belum pernah ditunjukkan sebelum ini.

Ratusan pesawat termasuk jet pejuang dan pengebom serta senjata berteknologi tinggi seperti senjata serangan tepat yang mampu bergerak lima kali ganda kelajuan bunyi akan dipamerkan dalam perbarisan itu.

Perbarisan itu yang merupakan kali kedua sejak 2015 bagi memperingati kekalahan rasmi tentera Jepun pada September 1945, akan mempamerkan kekuatan ketenteraan China ketika beberapa negara jiran dan Barat memandang dengan penuh kebimbangan terhadap kuasa Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Daripada trak yang dilengkapi alat untuk menumpaskan dron, kereta kebal baharu, pesawat amaran awal untuk melindungi kapal pengangkut pesawat China, atase tentera serta penganalisis keselamatan menjangkakan pelbagai senjata dan kelengkapan baharu akan dipamerkan.

Penambahan kepada rangkaian peluru berpandu yang semakin berkembang, terutama versi anti-kapal dan senjata hipersonik, akan diperhatikan dengan teliti ketika Amerika Syarikat (AS) dan sekutu bersiap untuk mengimbangi China dalam sebarang konflik serantau pada masa depan.

“(Senjata dan kelengkapan) ini akan menunjukkan kemampuan tentera kita untuk menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi, corak peperangan yang berkembang, dan memenangi peperangan masa depan,” kata Timbalan Pengarah Perbarisan Tentera, Wu Zeke kepada wartawan dalam sidang media.

Menurut pegawai tentera, senjata baharu yang bakal ditonjolkan dijangka merangkumi sebahagian besar daripada yang dipamerkan, namun jumlah sebenar tentera, senjata dan kelengkapan yang akan dipertontonkan tidak didedahkan.

Hari Kemenangan

Perbarisan Hari Kemenangan pada 3 September ini yang dijangka berlangsung selama kira-kira 70 minit akan menampilkan 45 formasi tentera dan ditinjau oleh Presiden Xi Jinping di Dataran Tiananmen bersama beberapa pemimpin dan kenamaan asing, termasuk Presiden Rusia, Vladimir Putin yang turut hadir pada perbarisan 2015.

Dalam perbarisan PD2 pada 2015, lebih 12,000 anggota tentera, termasuk kontinjen dari Rusia, Belarus, Mongolia dan Kemboja, berarak melalui bandar bersama veteran. Beijing juga mengerahkan lebih 500 kelengkapan ketenteraan dan 200 pesawat ketika itu.

Ramai pemimpin Barat memboikot acara 2015 tersebut, bimbang dengan mesej yang cuba disampaikan China melalui pameran kekuatan ketenteraan. Ketika itu, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe menolak untuk hadir.

Antara tokoh asing yang hadir ketika itu termasuk bekas Canselor Jerman, Gerhard Schroeder dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair.

Tiada maklumat mengenai penyertaan tentera asing atau kehadiran pemimpin luar negara didedahkan pada sidang media kali ini.

Pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan di pusat bandar Beijing sejak latihan pertama bulan ini, dengan sekatan jalan raya, mengubah arah lalu lintas serta menutup pusat beli-belah dan bangunan pejabat.

Setakat ini, Beijing  telah mengadakan dua latihan besar-besaran pada hujung minggu,  9-10 Ogos dan 16-17 Ogos, dihadiri 22,000 hingga 40,000 orang melibatkan tentera, polis dan penonton.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Rafizi nafi skandal diteliti ada kaitan Ismail Sabri, KJ

Next Post

Jurulatih Bola Sepak Itali desak FIFA, UEFA gantung Israel ekoran jenayah di Gaza

Related Posts