BANGI, 25 SAFAR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa orang ramai supaya tidak mendedahkan identiti suspek yang dipercayai terlibat dalam kes arwah Zara Qairina Mahathir .
Menurut SUHAKAM, ini termasuk pendedahan nama, gambar, sekolah atau sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengenalan diri mereka kepada umum.
“Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) memperuntukkan kesalahan boleh dihukum bagi mana-mana pihak yang menerbitkan sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah.
“Hukuman termasuk denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, semalam dilaporkan berkata lima remaja akan didakwa mengikut Seksyen Seksyen 507c(1) Kanun Keseksaan atas pertuduhan mengugut dengan mengeluarkan perkataan bersifat mengancam.
Pertuduhan terbabit adalah berhubung menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada seseorang yang berkemungkinan berasa terganggu, tertekan, takut atau cemas.
Dalam pada itu, SUHAKAM mengingatkan bahawa kanak-kanak berhak mendapat pelindungan penuh di bawah Akta 611, termasuk sokongan berasaskan trauma, khidmat perundangan dan layanan yang adil.
Selain itu katanya, Mahkamah Kanak-Kanak adalah mahkamah tertutup di bawah Seksyen 12 Akta 611 dan hanya pihak yang terlibat secara langsung dibenarkan hadir.
“Fokus utama SUHAKAM adalah mencegah daripada berlakunya stigma terhadap kanak-kanak yang terlibat.
“Kami mengingatkan orang awam bahawa perbuatan membuli, sama ada di sekolah mahupun dalam talian sama sekali tidak boleh diterima,” ujarnya.
Pada masa sama, SUHAKAM turut menggesa platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok mengemaskini dasar dalaman serta piawaian komuniti mereka bagi mengenal pasti dan memadam secara proaktif apa-apa kandungan yang melanggar Seksyen 15 Akta 611.
“Untuk mengambil tindakan menurunkan kandungan hanya selepas menerima permohonan mungkin membolehkan bahan yang menyalahi undang-undang dan berbahaya tersebar secara meluas.
“Ini sekali gus menggagalkan tujuan perlindungan undang-undang.
“Kegagalan untuk bertindak segera boleh menyebabkan mudarat kepada kanak-kanak dan boleh dianggap bersubahat dalam pendedahan yang menyalahi undang-undang,” tambahnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi