BANGI, 21 SAFAR – Polis Selangor sedang mengesan pemilik nombor telefon yang menghantar mesej ugutan kepada isteri bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli selepas anaknya diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, Rabu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata usaha itu dilakukan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi mengesan pemilik nombor telefon itu.
Menurutnya, isteri Ahli Parlimen Pandan itu juga sudah tampil membuat laporan polis.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
“Kita juga sudah merakam keterangan doktor yang merawat anaknya bagi membantu siasatan,” katanya.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan tidak menolak kemungkinan serangan terhadap anak lelakinya berpunca susulan pertemuannya bersama satu kumpulan pendedah maklumat atau whistleblower berkaitan satu skanda,l pada Rabu minggu lalu.
Beliau juga mendakwa, serangan dan ugutan itu adalah cubaan untuk menutup mulutnya berhubung perkara berkenaan.
Semalam, media melaporkan polis sudah merakam keterangan enam individu bagi membantu siasatan kes itu.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi