BANGI, 21 SAFAR – Beberapa kekecohan di Dewan Rakyat, baru-baru ini, yang melibatkan pertikaman lidah, tuduhan menghina parti lawan dan dakwaan ajakan bertumbuk, menjadi satu lagi episod yang menguji tahap kematangan politik negara.
Walaupun peristiwa begini bukan kali pertama berlaku, suasana kali ini meninggalkan kesan mendalam kerana ia disaksikan secara langsung oleh rakyat, termasuk pelajar sekolah yang hadir sebagai pemerhati.
Parlimen seharusnya menjadi medan wacana beradab, tempat perbezaan pandangan diselesaikan melalui hujah dan fakta, bukan emosi dan serangan peribadi. Namun, kejadian ini menunjukkan bahawa sesetengah wakil rakyat masih mengutamakan retorik konfrontasi berbanding perbahasan dasar.
Kata-kata kesat, sindiran melampau dan ancaman fizikal bukan sahaja tidak membantu perbahasan, malah merosakkan imej institusi tertinggi negara. Tindakan seperti ini mengalihkan fokus daripada isu sebenar yang dibincangkan, dalam kes ini, perbahasan mengenai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kepada drama politik yang tidak produktif.
Kritikan tidak seharusnya ditujukan kepada hanya satu pihak. Wakil rakyat dari blok kerajaan dan pembangkang, perlu mengakui peranan mereka mencetuskan suasana tegang. Politik matang memerlukan kesediaan mendengar, menghormati dan bertindak balas secara berhemah, bukan dengan menambah bahan bakar kepada api perbalahan.
Sejak dulu, politik negara ini sentiasa diwarnai dengan perbezaan ideologi, tetapi ini tidak boleh menjadi lesen untuk meminggirkan etika.
Peraturan mesyuarat dan kuasa Yang di-Pertua atau Speaker ada untuk memastikan perdebatan berjalan dalam garis yang tertib. Namun keberkesanannya bergantung kepada kesediaan Ahli Parlimen mematuhi semangat demokrasi itu sendiri.
Rakyat menilai wakil mereka bukan sahaja berdasarkan dasar yang dibawa, tetapi cara mereka membawa diri di pentas rasmi.
Setiap kekecohan yang berlaku menghakis rasa hormat terhadap Parlimen dan memperkukuhkan naratif bahawa politik negara terperangkap dalam lingkaran konflik peribadi, bukan perbincangan berasaskan kepentingan rakyat.
Lebih membimbangkan, generasi muda yang menyaksikan tingkah laku ini menganggap bahawa inilah norma perbahasan politik. Ia mengundang persoalan: apakah kita sedang mewariskan budaya politik yang membina atau merosakkan?
Berbanding Parlimen di beberapa negara maju, perbezaan budaya politik amat ketara. Di United Kingdom, perdebatan di House of Commons memang kadang-kadang hangat dengan ejekan dan sindiran, namun terikat dengan tradisi “parliamentary language” yang melarang kata-kata berunsur fitnah atau serangan peribadi secara kasar.
Ahli Parlimen yang melanggar peraturan ini boleh diarahkan keluar serta-merta oleh Speaker. Di Jepun, budaya Parlimen cenderung lebih berdisiplin walaupun wujud perbezaan ideologi yang besar. Ahli Diet (Parlimen) kebiasaannya menyampaikan hujah dengan nada terkawal. Jarang berlaku pertikaman lidah yang berpanjangan di hadapan kamera.
Di Kanada dan Australia, walaupun ‘heckling’ (ejekan dari kerusi belakang) adalah sebahagian warna-warni politik, garis batas tetap dijaga dengan ancaman fizikal atau kata-kata berbaur kebencian boleh membawa kepada penggantungan serta-merta.
Sebaliknya, di beberapa negara yang institusi demokrasi lebih muda atau kurang stabil, kita sering menyaksikan Parlimen menjadi gelanggang fizikal, termasuk pergaduhan, lontaran objek, malah kerusi meja yang diterbalikkan.
Keadaan itu sering dianggap sebagai tanda kelemahan budaya politik dan kegagalan mengawal perbezaan secara beradab.
Ini yang menyebabkan Malaysia kini berada di persimpangan; sama ada mengekalkan imej Parlimen sebagai medan perbahasan bertamadun atau membiarkannya merosot ke tahap drama yang memalukan.
Langkah pembetulan memerlukan keberanian politik semua pihak. Cadangan hukuman disiplin yang lebih tegas, termasuk penggantungan atau denda, wajar dipertimbangkan bagi menghalang ulangan insiden serupa.
Selain itu, pendedahan kepada latihan komunikasi politik yang beretika harus menjadi sebahagian daripada pembangunan kapasiti wakil rakyat.
Parlimen bukan medan untuk menunjuk kekuatan fizikal atau kepetahan menghina lawan. Ia adalah institusi yang diberi mandat oleh rakyat untuk membincangkan dasar, merangka undang-undang dan mengawasi pelaksanaan dasar negara.
Kekecohan di Dewan Rakyat adalah satu tanda amaran bahawa budaya politik kita memerlukan pembetulan dengan segera.
Rakyat berhak melihat Ahli Parlimen yang bijaksana, matang dan mampu mengurus perbezaan pandangan tanpa menggadaikan maruah institusi. Jika tidak, kita akan terus menyaksikan drama yang memualkan rakyat dan merugikan negara secara keseluruhan.
Oleh: Ziauddin Sharuddin, wartawan TV Pertiwi
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi