Abdul Hadi berpantun ‘kerajaan bebankan rakyat’, Rayer dan Zhemin melenting 

BANGI, 19 SAFAR – Pantun Presiden PAS mengaitkan kerajaan sekarang yang dianggotai DAP membebankan kehidupan rakyat menyebabkan sidang Dewan Rakyat hari ini, kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), menyifatkan kerajaan yang membebankan kehidupan rakyat seperti masalah inflasi, kos sara hidup, keruntuhan moral, jenayah, rasuah, dan lain-lain sebagai satu bentuk bencana.

Menurut Ahli Parlimen Marang, rakyat wajib menukar kerajaan yang berpakaian tidak lengkap ini kerana kehilangan maruahnya dan hilang harga diri manusia yang dimuliakan Allah, di samping khianat terhadap amanah untuk mentadbir dunia dengan petunjuk Allah.

Beliau secara berkias melalui pantun berkata, Kuala Lumpur bermasalah kerana pentadbiran kerajaan disertai DAP dan PH:

“Sebab Kuala Lumpur punca masalah bawah DAP, PH dan rakan-rakannya.

“Pergi ke Sabah patah balik menuju Kelantan, jangan berlumpur tersungkur rebah, lebih baik letak jawatan,” katanya.

Kekecohan tercetus setelah Chong Zhemin (PH-Kampar) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit mempersoalkan perbahasan Abdul Hadi yang didakwa tidak menyentuh mengenai RMK13.

Menurut Zhemin, ucapan Abdul Hadi tidak menyebut soal RMK13.

Sementara Rayer pula berkata: “Saya hadir dengar amanat Marang daripada PAS, kita hormati beliau. Sebagai pemimpin PAS, kenapa perlu Marang keluarkan kenyataan Kuala Lumpur bermasalah kerana ada DAP dan PH? Marang, keluarkan kenyataan sopan dan sangkaan jahat,” kata Rayer.

Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) bangkit mempertahankan Abdul Hadi dengan memberitahu bahawa ucapan Ahli Parlimen Marang memang berkaitan soal RMK13 apabila menyentuh isu integriti dan cukai.

Beliau menyifatkan Zhemin gagal memahami ucapan Abdul Hadi dan meminta Speaker menghentikan kekecohan serta meneruskan agenda perbahasan.

Tindakan Rayer dan Zhemin yang masih tidak berpuas hati dan terus mempersoalkan ucapan Abdul Hadi, menyebabkan beberapa wakil rakyat PN, termasuk Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) menyifatkan Rayer cuba melakukan provokasi dan bersikap kurang ajar.

Keadaan menjadi bertambah tegang apabila Rayer mendakwa PAS sebagai “Parti Ajaran Sesat” yang mengundang rasa tidak puas hati wakil pembangkang yang kemudian meminta beliau menarik balik kenyataan tersebut.

“Tarik balik! Ini perbuatan biadab, sangkaan jahat! Perkataan PAS itu, tarik balik! Ini akan menimbulkan sifat bermusuh-musuhan! Tuduh Parti Ajaran Sesat ini, kurang ajar!” kata Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau).

Beliau kemudian meminta Timbalan Speaker, Suhaizan Kaiat yang mempengerusikan Dewan Rakyat ketika itu, membuat keputusan.

Situasi menjadi semakin kecoh sehingga memaksa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengambil alih sidang daripada Suhaizan.

Johari memberi amaran keras kepada semua Ahli Parlimen termasuk tidak membenarkan Zhemin berucap.

“Saya lihat jelas, budak sekolah ada depan. Saya dengar dari chamber, berucap guna perkataan maki, guna perkataan tak elok.

“Kita bercakap nak negara maju, tak boleh macam ini, kena hormat sebagai pemimpin. Saya nak tutup kekecohan di sini dan saya minta (Ahli Parlimen) Bentong teruskan perbahasan,” katanya.

Johari turut memberi amaran untuk menggantung Rayer dan Awang jika mereka terus melakukan perang mulut dan menunjukkan perangai kebudak-budakan di Dewan Rakyat.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Gelar wartawan syahid sebagai militan, akhbar tempatan dikecam

Next Post

AGC arah inkues siasat punca kematian Zara Qairina

Related Posts