BANGI, 18 SAFAR – Profesor Dr Muhammad Yunus menghargai Malaysia sebagai antara negara terawal menghulurkan persahabatan selepas beliau dilantik sebagai Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh.
Selepas Perdana Menteri, Sheikh Hasina melepaskan jawatannya dan melarikan diri ke India, tahun lalu, katanya beliau dan Kabinetnya terdesak mencari sokongan kerana tidak tahu hala tuju negaranya dan ketika itu, Anwar menghulurkan sokongannya.
“Kami amat berbesar hati dengan perkara itu dan kami teguh bertekad untuk memastikan Bangladesh terus menuju ke arah yang betul.
“Kami sangat gembira kerana telah berjaya memulihkan ketenteraman negara, memulihkan ekonomi, dan mengembalikan fungsi institusi dalam tempoh kira-kira setahun sahaja,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, hari ini..
Sehubungan itu, Yunus berkata Bangladesh bersedia dan menawarkan banyak peluang terutama membabitkan sumber manusia dan bidang teknologi bagi menarik minat negara asing termasuk Malaysia untuk melabur.
“Kami berharap hubungan yang lebih erat dapat dibina dalam hal kewangan dan pelaburan di Bangladesh, sekali gus meluaskan peluang agar kita dapat membangunkan sebuah ekonomi yang mampan dan berdaya saing tinggi.
“Hari ini kami sangat gembira, kami telah meneliti senarai semua idea dan isu yang ingin kami usahakan bersama Malaysia, baik secara dua hala mahupun pelbagai hala,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi