Peguam Zara Qairina tahan diri ulas laporan bedah siasat

BANGI, 18 SAFAR – Peguam kepada keluarga Zara Qairina Mahathir, menahan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan laporan bedah siasat ke atas pelajar berkenaan.

Dalam satu kenyataan bersama peguam berkenaan, Shahlan Jufri dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi berkata, tindakan itu bagi mengelakkan berlaku percanggahan antara laporan lisan bedah siasat yang dimaklumkan kepada mereka dan ibu Zara selepas bedah siasat tamat, kelmarin dan laporan rasmi bedah siasat yang akan dikeluarkan oleh pihak hospital.

Bagaimanapun mengikut kenyataan itu, seperti yang dimaklumkan oleh Shahlan, kelmarin terdapat kecederaan yang ditemui pada tubuh Zara semasa bedah siasat. 

Sementara itu, mereka berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengarahkan polis untuk membuat permohonan menggali semula kubur Zara Qairina dan seterusnya membuat bedah siasat terhadap jenazahnya kelmarin.

Selain itu, mereka berterima kasih kepada polis yang mengawal rapi proses penggalian dan bedah siasat tersebut.

“Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua individu termasuk wartawan-wartawan media yang berada di tanah perkuburan dan persekitaran hospital Queen Elizabeth 1 dari pagi hingga ke malam bagi menyaksikan proses penggalian kubur, pengembumian jenazah dan bedah siasat.

“Sokongan anda semua amat kami hargai,” kata mereka dalam kenyataan, malam tadi.

Kelmarin, proses bedah siasat Zara Qairina selesai selepas kira-kira lapan jam prosedur itu dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Proses itu yang bermula jam 11 pagi dan berakhir jam 8 malam turut disaksikan Shahlan atas permintaan keluarga Zara Qairina.

Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu, sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital keesokan harinya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Anggota tentera Indonesia maut dipercayai dipukul 20 senior

Next Post

KPM arah lawatan mengejut ke sekolah, wajibkan laungan ‘Kami Benci Buli’

Related Posts