BANGI, 18 SAFAR – Sebanyak 31 kes buli yang berlaku dalam bentuk fizikal dan siber, direkodkan berlaku di lapan universiti awam (UA) sejak 2014.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, kes berpunca daripada faktor sosial, psikologi, pengaruh media sosial dan kurang pengawasan ibu bapa.
Katanya, pelajar UA yang didapati terbabit dalam kes buli boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut Peraturan 3(1)(a)(2) Kaedah Tatatertib Pelajar yang sudah diseragamkan melalui pindaan pada 2024.
“Pertama, amaran. Kedua, khidmat masyarakat mengikut peraturan yang dibuat Lembaga yang tidak melebihi 24 jam. Ketiga, denda tidak melebihi RM500 dan keempat, dilarang berada dalam mana-mana kampus untuk suatu tempoh serta akhirnya dibuang atau dilarang tinggal dalam kediaman siswa.
“Mereka juga boleh digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti untuk suatu tempoh dan akhir sekali dibuang daripada universiti ,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN- Alor Setar) mengenai langkah yang sudah diambil kementerian bagi mengekang kejadian buli di institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta.
Bag sektor IPT swasta, Zambry berkata, Seksyen 33 Akta IPTS 1996 memperuntukkan secara jelas tanggungjawab Ketua Eksekutif IPTS dalam menjalankan penyeliaan am termasuk berkaitan kebajikan dan disiplin.
“Ia juga meliputi usaha pencegahan dan pengendalian kes buli secara menyeluruh.
“KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk buli atau kekerasan di IPT di bawah seliaan kementerian,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa KPT tidak akan melindungi pelaku dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional bagi sebarang kes buli.
Katanya, KPT juga ingin menyatakan komitmen untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di kampus sentiasa terpelihara.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi