BANGI, 17 SAFAR – Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya tidak menuding jari kepada masyarakat berhubung spekulasi dan kerisauan berkaitan isu kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian berkata, kebimbangan ibu bapa adalah wajar kerana melibatkan keselamatan anak-anak di sekolah.
Jika Perdana Menteri memberi komitmen untuk siasatan adil dan telus, beliau berharap Menteri Pendidikan juga tidak bersikap defensif kerana perkara itu adalah soal asas, iaitu keselamatan anak-anak di sekolah.
“Kita tidak boleh menuding jari kepada ibu bapa atau yang membuat spekulasi dan sebagainya yang penting adalah kita menunjukkan bahawa kerajaan akan ambil tindakan serius dalam soal ini dan tidak memperkecilkan kebimbangan yang disuarakan masyarakat,” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Nik Nazmi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu bersedia jika terdapat keperluan untuk melaksanakan anjakan dalam sistem pendidikan negara, sekaligus menjamin keselamatan anak di sekolah yang perlu diutamakan.
Katanya, isu buli mendapat perhatian yang sangat meluas dan jika perlu ada anjakan dalam sistem pendidikan, maka KPM perlu lakukan demi memastikan keselamatan anak-anak terjamin
“Soal kemenjadian murid, soal pencapaian mereka dalam pendidikan dan sebagainya tidak akan menjadi tumpuan kalau soal keselamatan anak-anak tidak dapat kita jamin,” ujarnya.
Nik Nazmi mengalu-alukan komitmen kerajaan supaya siasatan kematian pelajar tersebut dilakukan secara telus bagi merungkai pelbagai persoalan yang sedang berlegar.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi