Keadilan untuk Zara Qairina: Inkues sebagai jalan cari kebenaran

PEGUAM keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengesahkan kemungkinan besar pihaknya akan memohon inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar itu. Keputusan muktamad akan dibuat selepas laporan penuh bedah siasat diterima daripada pihak forensik.

Zara Qairina, 13 tahun, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang bawah asrama sekolah pada 16 Julai lalu, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan. Beliau disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Keluarga mendakwa terdapat kesan lebam pada badan ketika proses mandi jenazah, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai punca sebenar kematian. Laporan polis dibuat pada 30 Julai, diikuti arahan ekskavasi semula kubur oleh Pejabat Peguam Negara bagi membolehkan bedah siasat dijalankan pada awal bulan Ogos.

Sehingga kini, laporan lengkap bedah siasat belum dikeluarkan secara rasmi. Menurut peguam keluarga, sekiranya hasil bedah siasat tidak memuaskan hati, inkues akan menjadi langkah seterusnya untuk memastikan punca kematian diketahui secara telus dan terbuka.

Inkues bukan sekadar prosedur undang-undang; ia adalah mekanisme untuk memelihara integriti sistem keadilan.

Dalam kes seperti ini, di mana punca kematian menimbulkan keraguan dan soalan yang belum terjawab, inkues memberi ruang kepada fakta dibentangkan di hadapan mahkamah, disaksikan masyarakat, dan dinilai oleh hakim tanpa pengaruh politik atau tekanan pihak berkepentingan.

Kita tidak boleh menafikan bahawa kelewatan dan kekurangan dalam tindakan awal pihak berkuasa telah menjejaskan persepsi awam. Pakaian mangsa, keadaan lokasi kejadian, dan bukti-bukti awal adalah unsur penting yang sepatutnya ditangani secara profesional sejak hari pertama. 

Kegagalan dalam langkah awal ini boleh mengakibatkan kehilangan bukti yang mungkin mengubah keseluruhan naratif kes.

Kes Zara Qairina bukan hanya tragedi peribadi, tetapi ujian kepada keberkesanan dan ketelusan sistem perundangan negara. Sekiranya inkues dilaksanakan, ia bukan semata-mata untuk memberi jawapan kepada keluarga, tetapi juga sebagai mesej kepada rakyat bahawa setiap nyawa yang hilang tidak akan dibiarkan tanpa keadilan.

Kebenaran mesti diangkat, walaupun ia pahit. Dan inkues adalah jalan yang sah dan berperlembagaan untuk mendapatkan keadilan.

Siti Fatimah Ishak
Wartawan TV Pertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kematian ‘Pele of Palestine’: Eric Cantona kutuk tindakan genosid Israel

Next Post

Harus menggali kubur dalam keadaan darurat – JAKIM

Related Posts