Israel bunuh wartawan Al Jazeera dalam serangan terancang di Gaza

DOHA, 17 SAFAR – Al Jazeera Media Network mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan terancang terhadap wartawan dan jurugambarnya oleh tentera Israel dalam satu lagi serangan yang jelas menyasarkan kebebasan media di Gaza.

Dalam kenyataannya, Al Jazeera mendedahkan wartawan Anas Al Sharif dan Mohammed Qraiqea, bersama jurugambar Ibrahim Al Thaher serta Mohamed Nofal, dibunuh melalui serangan terus ke arah khemah yang menjadi lokasi liputan mereka di hadapan Kompleks Perubatan Al-Shifa, Gaza.

Menurut rangkaian media itu, pembunuhan kejam ini berlaku ketika rejim Zionis terus melancarkan serangan besar-besaran yang mengorbankan ribuan orang awam, memaksa penduduk kelaparan serta memusnahkan seluruh komuniti.

“Perintah untuk membunuh Anas Al Sharif – antara wartawan paling berani di Gaza – dan rakan-rakannya adalah usaha terdesak bagi menutup suara yang membongkar rancangan penjajahan penuh Gaza,” tegas Al Jazeera.

Sejak tercetusnya perang, para wartawan ini tanpa gentar mendokumentasikan penderitaan rakyat Gaza walaupun media antarabangsa dihalang daripada memasuki wilayah itu. 

Mereka hidup dalam kelaparan dan ancaman maut yang sama seperti penduduk yang dilaporkan, sambil menyiarkan liputan langsung dari lapangan selama 22 bulan berturut-turut.

Al Jazeera turut menegaskan pembunuhan itu adalah lanjutan daripada hasutan terbuka beberapa pegawai Israel yang secara khusus menyeru supaya Anas Al Sharif dan pasukannya dijadikan sasaran.

“Anas dan rakan-rakannya adalah antara suara terakhir dari dalam Gaza yang menyampaikan kebenaran tanpa tapis kepada dunia. Mereka membayar dengan nyawa kerana mempertahankan hak rakyat Palestin untuk dilihat dan didengar,” ujar kenyataan itu lagi.

Rangkaian media berpangkalan di Qatar itu menggesa komuniti antarabangsa dan badan-badan berkaitan bertindak segera menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku serta menamatkan serangan khusus terhadap wartawan.

“Imuniti terhadap pelaku jenayah dan ketiadaan akauntabiliti hanya menggalakkan Israel meneruskan penindasan terhadap saksi-saksi kebenaran,” kata Al Jazeera.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Ops Khas Kad ATM tahan 71 ‘keldai akaun’ di seluruh negara

Next Post

Bedah siasat Zara Qairina ikut prosedur, tiada campur tangan – Peguam

Related Posts