BANGI, 14 SAFAR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjelaskan bahawa agensi itu menghubungi Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Menurut MCMC, siasatan tersebut melibatkan kandungan sebuah akaun TikTok yang mengaitkan Muhyiddin dengan satu dakwaan berhubung subsidi RON95.
“Fokus siasatan adalah bagi mengesahkan konteks kandungan yang disiarkan, dan tidak melibatkan sebarang dakwaan atau pertuduhan terhadap beliau,” kata MCMC dalam kenyataan media, semalam.
Bagi melengkapkan siasatan, MCMC menyatakan akan memanggil mana-mana individu yang berkaitan jika perlu.
Sehubungan itu, MCMC menggesa semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi, serta memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang dijalankan secara bebas, berhemah dan profesional.
Semalam, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberitahu dipanggil oleh MCMC berhubung dakwaan bahawa beliau mempertahankan hak warga asing dalam inisiatif subsidi RON95 oleh kerajaan.
Perkara ini susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar MCMC menyiasat isu tersebut dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pegawai MCMC menghubungi pejabatnya untuk merakam kenyataan beliau sebagai saksi.
“Saya sendiri tidak faham siapa atau apa sebenarnya yang sedang disiasat,” katanya semasa perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
“Adakah MCMC turut menyiasat Tambun (Anwar) atau tidak?”
Ketika itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, yang mempengerusikan persidangan, mencelah dan menjelaskan bahawa beliau telah menerima surat dari Pejabat Perdana Menteri yang menyatakan bahawa siasatan MCMC adalah tertumpu kepada portal berita yang melaporkan bahawa Muhyiddin mempertahankan hak warga asing dalam usaha rasionalisasi subsidi kerajaan.
Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan bahawa Anwar tidak sepatutnya menggunakan kuasa sebagai perdana menteri untuk menutup kesilapannya sendiri.
Beliau berkata, hanya menuntut satu perkara daripada Anwar, iaitu permohonan maaf secara terbuka dan penarikan balik kenyataan yang didakwanya mengelirukan.
“Jika ini tidak dilakukan, saya akan rujuk Tambun (Anwar) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat,” katanya.
Pada Selasa (6 Ogos lalu), Anwar dilaporkan memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau telah membaca satu laporan yang mendakwa Muhyiddin mempertahankan hak warga asing untuk menerima manfaat daripada program rasionalisasi subsidi.
Susulan itu, Muhyiddin menafikan perkara tersebut menerusi media sosial, dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Beliau turut mengulangi pendirian PN yang sentiasa menekankan bahawa manfaat subsidi perlu mengutamakan kepentingan rakyat Malaysia.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi