Presiden AS sah hadir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di KL Oktober ini

BANGI, 14 SAFAR – Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada Oktober ini, dijangka menjadi perhimpunan pemimpin dunia dan berprofil tinggi terbesar setakat ini dengan kehadiran kuasa besar dunia berpengaruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia mengalu-alukan kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang telah mengesahkan kehadirannya dan kemungkinan Presiden China, Xi Jinping serta ketua kerajaan negara ASEAN dan rakan dialog.

Menurutnya, negara juga menerima petunjuk positif mengenai kehadiran Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, yang masing-masing kini memegang jawatan Presiden BRICS dan G20.

“Bagaimanapun, memastikan kehadiran mereka hanyalah langkah pertama. 

“Ujian lebih besar adalah memastikan mereka meninggalkan Malaysia dan ASEAN dengan perasaan yang benar-benar berpuas hati,” katanya pada sambutan Hari ASEAN Ke-58 di Cyberjaya, hari ini.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 akan diadakan di Kuala Lumpur mulai 26 hingga 28 Oktober ini.

Setakat ini, Trump dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri pada 31 Julai lalu, mengesahkan kehadirannya, selain Lula da Silva, Ramaphosa dan Perdana Menteri Itali, Giorgio Meloni.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, ulang tahun ASEAN pada hari ini adalah detik menilai semula dan merenung sejauh mana forum kerjasama itu melangkah serta perjalanan yang masih menanti di hadapan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada tokoh pengasas ASEAN, iaitu Menteri Luar ASEAN pada 1967, Tun Abdul Razak Hussein dari Malaysia, Adam Malik (Indonesia), Narciso R Ramos (Filipina), S Rajaratnam (Singapura) dan Thanat Khoman (Thailand) yang menandatangani Deklarasi Bangkok, yang menjadi asas penubuhan ASEAN.

“Mereka memahami tugas pertama rantau ini adalah untuk memastikan negara Asia Tenggara dapat hidup bersama dalam suasana harmoni dan bekerjasama.

“Hanya pimpinan yang mempunyai pendirian, melihat jauh ke depan, yang tidak hanya terikat dengan permasalahan dalaman dan domestik, tetapi memikirkan kepentingan jiran, rantau dan dunia, yang boleh menggagaskan satu idea dalam keadaan negara baru mencapai kemerdekaan serta bergelut dengan pelbagai masalah dalam negara, dan pertembungan sengit antara dua kuasa besar ketika itu,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bendera terbalik: ‘Jangan salahkan golongan OKU’ – Neow Choo Seong

Next Post

Tarif Amerika Syarikat: Malaysia tidak boleh terus menunduk

Related Posts