BANGI, 13 SAFAR – Pemuda PAS mengingatkan bahawa Dewan Rakyat bukan medan untuk menyerang individu politik dengan dakwaan palsu.
Timbalan Ketua Pemuda PAS, Hafez Sabri berkata, institusi itu sebaliknya adalah medan mulia untuk membahaskan dasar dan menyelesaikan isu rakyat.
Menurutnya, Pemuda PAS menzahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Perdana Menteri di Parlimen kelmarin, ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Terengganu berhubung pemberian subsidi dan isu melibatkan warga asing.
Katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh Ahli Parlimen Pagoh yang juga bekas Perdana Menteri, kononnya pernah mengungkapkan hasrat untuk membela dan menjaga kepentingan warga asing.
Namun, beliau berkata tuduhan itu dinafikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan tidak pernah mengeluarkan kenyataan demikian.
“Pemuda PAS menegaskan supaya menghentikan hujahan politik sempit yang mengelirukan rakyat dan tidak menyumbang kepada penyelesaian isu sebenar negara.
“Selain itu, elakkan berbohong dan membuat tuduhan tidak berasas demi kepentingan politik jangka pendek yang hanya menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Hafez berkata, jka yakin dengan tuduhan tersebut, ulangi kenyataan itu di luar Dewan Rakyat agar siasatan bebas dapat dijalankan secara menyeluruh dan bukan bersembunyi di sebalik kekebalan Parlimen..
Beliau berkata, rakyat mahukan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kesejahteraan sosial, bukan sandiwara politik yang mengalih perhatian terhadap kegagalan kerajaan menunaikan tanggungjawab dan menyelesaikan masalah sebenar.
Sehubungan itu, katanya Pemuda PAS menggesa Perdana Menteri menumpukan sepenuh tenaga dan masa kepada usaha membela nasib rakyat, bukannya meneruskan budaya menyalahkan dan menuduh pihak lain.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi