TEL AVIV, 13 SAFAR – Tentera Israel dilapor menjalankan operasi pengintipan berskala besar terhadap rakyat Palestin dengan menyimpan rakaman panggilan telefon mereka di pelayan awan milik syarikat teknologi gergasi, Microsoft.
Pendedahan yang dibuat oleh The Guardian, +972 Magazine dan Local Call itu mendedahkan bahawa Unit Perisikan Tentera Israel, Unit 8200, menggunakan platform Azure milik Microsoft untuk menganalisis jutaan panggilan telefon rakyat Palestin setiap hari – bagi tujuan operasi serangan di Gaza dan Tebing Barat.
Lebih mengejutkan, teknologi tersebut membolehkan rejim Zionis memproses sehingga sejuta panggilan dalam masa satu jam, sekali gus memberi kelebihan kepada mereka dalam menyasarkan serangan udara ke atas penduduk awam yang tidak berdosa.
Sistem pengawasan ini dipercayai mula dibangunkan selepas satu pertemuan pada 2021 antara Komander Unit 8200, Yossi Sariel, dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella.
Berselindung di sebalik istilah “perisikan”, rejim Israel sebenarnya sedang menjalankan satu bentuk pengintipan digital besar-besaran ke atas rakyat Palestin, satu tindakan biadab yang melanggar prinsip privasi dan hak asasi manusia.
Dengan kapasiti simpanan yang hampir tiada had, Microsoft Azure digunakan untuk menyimpan lebih 11,500 terabait data panggilan – bersamaan 200 juta jam komunikasi — termasuk suara wanita, kanak-kanak dan warga tua Palestin.
Lebih membimbangkan, teknologi ini turut digabungkan dengan kecerdasan buatan (AI) bagi mengenalpasti ‘sasaran serangan’, yang sebenarnya adalah kediaman, masjid dan pusat perlindungan rakyat Palestin yang tidak bersenjata.
Sejak Oktober 2023, lebih 61,100 rakyat Palestin telah syahid akibat serangan kejam rejim Zionis di Gaza – angka yang terus meningkat setiap hari. Wilayah itu kini hampir lumpuh sepenuhnya, dengan bekalan makanan dan ubat-ubatan yang semakin pupus.
November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Israel juga kini berdepan pertuduhan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) – menandakan betapa seriusnya jenayah yang sedang dilakukan rejim itu terhadap umat Islam di Palestin. – ANADOLU
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi