MOSCOW, 12 SAFAR – Presiden Rusia, Vladimir Putin, dijangka tidak akan tunduk kepada kata dua Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk mengenakan sekatan yang tamat pada Jumaat ini.
Malah, Putin berpegang teguh kepada matlamat menawan sepenuhnya empat wilayah Ukraine
Trump mengancam untuk mengenakan sekatan baharu ke atas Rusia dan tarif 100 peratus terhadap negara yang membeli minyak negara itu, termasuk pembeli terbesar seperti China dan India jika Putin enggan bersetuju dengan gencatan senjata dalam perang Rusia-Ukraine.
Menurut sumber yang mengetahui perbincangan di Kremlin, tekad Putin untuk meneruskan perang berpunca daripada keyakinannya bahawa Rusia sedang menang dan keraguannya terhadap keberkesanan sekatan tambahan AS selepas pelbagai gelombang sekatan ekonomi dikenakan sepanjang tiga setengah tahun perang.
Sumber lain berkata, Putin tidak mahu menimbulkan kemarahan Trump dan sedar bahawa beliau mungkin melepaskan peluang untuk memperbaiki hubungan dengan Washington serta Barat, namun matlamat perang tetap menjadi keutamaan.
Putin menyasarkan untuk menawan sepenuhnya wilayah Donetsk, Luhansk, Zaporizhzhia dan Kherson yang dituntut Rusia sebagai wilayah negara itu, sebelum memulakan rundingan damai.
“Jika Putin dapat menawan sepenuhnya empat wilayah itu yang didakwa sebagai milik Rusia, beliau boleh mendakwa bahawa peperangannya di Ukraine telah mencapai matlamat,” kata James Rodgers, penulis buku yang akan diterbitkan, The Return of Russia.
Proses rundingan semasa yang perunding Rusia dan Ukraine bertemu tiga kali sejak Mei, dilihat Moscow sebagai usaha meyakinkan Trump bahawa Putin tidak menolak damai, namun perbincangan setakat ini hanya berkisar isu pertukaran kemanusiaan.
Rusia menyatakan serius mencapai perjanjian damai jangka panjang, tetapi mengakui proses itu rumit kerana pendirian kedua-dua pihak sangat berbeza. Minggu lalu, Putin menyifatkan rundingan itu sebagai positif.
Tuntutan rasmi Moscow termasuk penarikan penuh tentera Ukraine dari empat wilayah tersebut serta penerimaan Kyiv terhadap status berkecuali dan had keupayaan tentera, tuntutan yang ditolak Ukraine.
Sebagai tanda masih ada peluang mencapai perjanjian sebelum tarikh akhir, utusan khas Trump, Steve Witkoff, dijangka melawat Rusia minggu ini, susulan retorik tegang antara Trump dan Moscow mengenai risiko perang nuklear. Isnin lalu, Rusia mengumumkan tidak lagi terikat dengan moratorium peluru berpandu nuklear jarak pendek dan sederhana.
Trump yang sebelum ini memuji Putin dan membayangkan potensi urus niaga perniagaan antara kedua-dua negara, kini semakin menunjukkan rasa tidak sabar terhadap Presiden Rusia. Beliau mengkritik ” Putin dan menyifatkan pengeboman berterusan ke atas Kyiv dan bandar Ukraine lain sebagai menjijikkan.
Kremlin pula menyatakan mengambil maklum kenyataan Trump, tetapi enggan memberikan maklum balas.
Perdana Menteri Ukraine, Yulia Svyrydenko, minggu lalu, meminta dunia memberi “tekanan maksimum” selepas serangan udara terburuk Rusia tahun ini yang mengorbankan 31 orang di Kyiv, termasuk lima kanak-kanak, yang didakwa sebagai tindak balas Moscow terhadap tarikh akhir Trump.
Jurucakap Rumah Putih, Anna Kelly, berkata: “Presiden Trump mahu menghentikan pembunuhan, sebab itu beliau menjual senjata buatan AS kepada anggota NATO dan mengancam Putin dengan tarif serta sekatan keras jika beliau enggan bersetuju dengan gencatan senjata.”
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi