BANGI, 12 SAFAR – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo yang menyertai Bersatu, menyifatkan UMNO tidak akan menjadi lebih sekadar ‘supplement’ (pelengkap) kepada Pakatan Harapan (PH).
Sebaliknya, beliau yang memimpin Selangor antara Ogos 2000 hingga Februari 2008 lebih yakin dengan kejujuran pemimpin parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membela nasib bangsa.
“Saya sertai Bersatu kerana ada kejujuran pemimpin mereka untuk berjuang membela nasib bangsa,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Selain itu, katanya parti itu akan bertanding dengan jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan sama ada di Selangor mahu pun di peringkat negara.
Soal kalah menang, katanya adalah ketentuan ilahi, tetapi usaha mesti dilakukan dan cita cita mesti diperlihatkan dengan kesungguhan.
“Lagi pun sekarang memang telah nyata Bersatu menggantikan UMNO, jumlah kerusi Parlimen yg dimiliki oleh parti itu jauh lebih besar dari UMNO.
Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau tidak menjangka UMNO akan bertanding dengan jumlah kerusi melebihi jumlah kerusi PKR.
Beliau mempersoalkan bagaimana parti itu hendak menjadi dominan jika bertanding dengan kerusi yang sedikit.
“UMNO akan terus jadi parti supplement jika terus menyorok di bawah ketiak PH,” katanya.
Mohamad Khir berkata, beliau tidak bercita cita menjadi pemimpin besar lagi, tetapi tidak mahu berjuang dalam parti yang hanya sekadar parti supplement kepada parti lain.
Antara pemimpin kontroversi ketika UMNO berkuasa di Selangor, Mohamad Khir dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 selepas disabitkan kesalahan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan dirinya dan isteri dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam.
Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2015. Beliau menjalani hukuman di Penjara Kajang dan dibebaskan pada Mei 2016.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi