Ibu kecewa anak lebam disyaki dipukul – tapi kes ditutup kerana tiada CCTV dan saksi

BANGI, 12 SAFAR – Seorang ibu meluahkan kekecewaan mendalam apabila kes dakwaan penderaan anaknya di sebuah pusat jagaan kanak-kanak berakhir tanpa sebarang tindakan, meskipun laporan perubatan mengesahkan wujud kesan penderaan.

Menerusi hantaran yang dikongsi kepada umum di Facebook, ibu kepada mangsa, Syaza Syamimi berkata, beliau telah melalui lapan bulan proses siasatan dengan penuh sabar dan yakin bahawa pihak berkuasa akan menjalankan tugas dengan adil.

Namun, harapannya musnah apabila dimaklumkan bahawa “kes ditutup kerana tiada saksi untuk menyokong, tiada kesalahan jenayah, tiada keterangan kukuh.”

Insiden didakwa berlaku pada 17 Januari 2025, apabila beliau dan suami menyedari kesan lebam dan kemerahan panjang di belakang badan anak mereka ketika mahu memandikannya.

“Saya telah menjemput anak dari pusat jagaan kanak-kanak, dan pada 7 malam saya dan suami nak mandikan anak, kami notice ada kesan lebam panjang dan kemerahan di belakang badan anak.”

Keesokan harinya, pasangan itu membawa anak mereka ke klinik swasta, namun hanya diberikan ubat gatal kerana doktor enggan membuat andaian terhadap pihak pusat jagaan.

Tidak berpuas hati, mereka mendapatkan pandangan kedua di Hospital Sultanah Aminah pada 19 Januari.

“Doktor sahkan ini bukan kesan gatal tapi kesan dipukul atau jatuh atas objek panjang.”

Susulan itu, laporan polis dibuat di Balai Polis Sentral Johor, dan kes kemudian dipindahkan ke Balai Polis Iskandar Puteri untuk siasatan lanjut.

Laporan perubatan penuh diterima pada 25 Februari, mengesahkan wujud unsur penderaan, dan satu lagi laporan dibuat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Namun, sepanjang Mac hingga Mei, tiada sebarang kemas kini daripada pihak polis mahupun JKM.

“Selepas dua bulan, 7 April saya dipanggil semula ke Balai Polis Iskandar Puteri untuk dapatkan pengesahan sama ada saya nak bawa kes ke mahkamah atau tidak, mestilah kami nak.”

Pada 10 Jun, beliau sendiri menghubungi pihak polis dan baru mengetahui bahawa kes sudah pun selesai, namun tiada maklumat lanjut diberikan ketika itu.

Beberapa kali beliau diminta hadir ke balai untuk mendapatkan surat keputusan, namun surat hanya diterima secara PDF pada 5 Ogos 2025.

Isi kandungan surat itu amat mengejutkan – kes ditutup.

“Hanya sebab pihak jagaan gagal mempamerkan CCTV dengan alasan ribut petir, dan sedang diselenggara, mereka bebas begitu saja,” katanya. 

Beliau turut menjelaskan bahawa langkah berjaga-jaga telah diambil sebelum memilih pusat jagaan tersebut.

“Jangan cakap saya tak ambil pre-caution step sebelum hantar anak. Saya check semua rekod rasmi, check review, site visit baru saya register. Bukan saya pilih pakai dadu.”

Beliau kini hanya mampu menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT.

“Mohon doa semua, semoga ada keadilan buat Syakir Ali kami. Walau tiada keadilan yang telus di dunia, semoga balasan setimpal diterima oleh mereka yang menganiaya kanak-kanak.”

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

‘Silap pasang, minta maaf’ – Sampai bila? Rakyat Malaysia wajib tahu Jalur Gemilang

Next Post

Muhyiddin cabar Anwar kemuka bukti dakwaan pertahan warga asing

Related Posts