Benarkah makan durian menyebabkan strok? 

BANGI, 11 SAFAR – Anggota kumpulan Nico G, Dino mendakwa sehari sebelum dirinya rebah akibat strok, dia makan tujuh biji durian gara-gara tidak mahu melepaskan peluang menikmati raja buah itu pada musimnya.

Dino atau nama sebenar, Mohd Shah Rosli, 50, yang diserang strok pada bahagian kanan badan sejak tiga minggu lalu, percaya pemakanan tidak dikawal dan rokok yang dihisap terlalu banyak menjadi antara faktor masalah kesihatan.

“Saya suka durian dan setiap kali tiba musim, saya mesti makan. Sehari sebelum kejadian (diserang strok), saya makan tujuh biji durian kampung. Esok paginya, terus jadi macam ini. Ketika bercakap dengan doktor, mulut saya masih berbau durian.

“Saya juga merokok sejak usia muda. Jadi, itu mungkin menyumbang kepada masalah kesihatan saya. Namun, saya sedang cuba untuk berhenti merokok,” katanya selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching ke kediamannya sempena Program Ziarah Seni Madani di Kampung Baru di sini, semalam.

Namun, persoalannya benarkah makan durian menyebabkan strok?

Menurut pakar neurologi dan perubatan, tiada bukti saintifik menunjukkan durian menyebabkan strok secara langsung.

Pada  2016, satu kajian bertajuk “Effects of Durian Intake on Blood Pressure and Heart Rate in Healthy Individuals” diterbitkan dalam International Journal of Food Properties. 

Penyelidikan ini diketuai oleh Endang Kumolosasi, bersama Teh Siew Gyn, Ahmad Hasnan Mansor, Mohd Makmor Bakry, Norazrina Azmi, dan Malina Jasamai dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Kajian ini membabitkan individu lelaki sihat yang diuji dengan pengambilan durian sebanyak 250 gram (g) dan 500g sekali makan, 

Hasil kajian menunjukkan tiada kenaikan signifikan dalam tekanan darah selepas makan durian, sama ada dos rendah atau tinggi. Walaupun terdapat peningkatan kadar denyutan jantung pada dos 500g antara 30 min hingga 2 jam, ia kekal dalam julat normal (60–100 bpm) dan kembali normal selepas 2 jam

Kajian susulan oleh Malina Jasamai, Nurul Hanis Samsudin, Norazrina Azmi dan Endang Kumolosasi yang diterbitkan pada 2018 dalam jurnal Sains Malaysiana menerusi artikel “Effects of Durian Fruit on Blood Pressure of Spontaneously Hypertensive Rats”. 

Kajian ini menggunakan model tikus hipertensi spontan dan meneliti kesan pengambilan durian pada tekanan darah dalam jangka masa 14 hari. Dos digunakan adalah 26 g/kg dan 52 g/kg berat badan tikus. 

Hasil kajian mendapati dos tinggi durian (52 g/kg) menyebabkan peningkatan tekanan darah (sistolik dan diastolik) dalam masa satu jam selepas pengambilan, manakala dos rendah (26 g/kg) tidak menunjukkan perubahan signifikan dan toleransi terhadap buah terbina selepas beberapa hari. Kadar denyutan jantung pula tidak terjejas secara signifikan.

Dapatan utama kedua-dua kajian itu ialah pengambilan durian dalam jumlah sederhana tidak meningkatkan tekanan darah dalam individu sihat.

Walaupun dos tinggi boleh menaikkan tekanan darah pada mereka yang mempunyai hipertensi, kadar denyutan jantung tidak berubah signifikan.

Dalam kes Dino, dia juga mengakui bahawa rokok yang dihisap terlalu banyak juga mungkin antara faktornya.  

Menurut pakar kardiologi intervensi sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur, Dr Wong Teck Wee, merokok merupakan antara faktor risiko utama strok. 

“Strok paling umum berpunca daripada penyumbatan salur darah ke otak. Rokok mempercepatkan aterosklerosis, meningkatkan tekanan darah dan merosakkan sistem kardiovaskular,” ujarnya.

Pandangan yang sama dikongsi oleh pakar neurologi sebuah pusat perubatan swasta di Subang Jaya, Dr Yong Fee Mann.

Beliau menekankan bahawa pengurangan risiko strok lebih berkesan jika faktor seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tidak terkawal, diabetes, obesiti dan tabiat merokok ditangani.

Menurut data terkini, strok merupakan penyebab kematian ketiga tertinggi di Malaysia.

Antara faktor risiko utama adalah gaya hidup tidak sihat, diet tidak seimbang, dan kelemahan pengurusan stres yang memainkan peranan lebih besar daripada jenis buah atau makanan tertentu.

Jika anda penggemar Musang King atau Udang Merah, makan durian dalam jumlah yang munasabah (1–2 biji kecil) selamat untuk kebanyakan individu sihat.

Merokok pula jelas terbukti meningkatkan risiko strok. Dalam kes Dino, pengambilannya tujuh biji durian dan tabiat merokok mungkin menyumbang kepada beban risiko, tetapi bukannya penyebab langsung strok secara saintifik.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Turkiye kecam keras pencerobohan Masjid al-Aqsa oleh menteri Israel

Next Post

Kerajaan umum perincian penyasaran semula subsidi RON95 bulan depan

Related Posts