GAZA, 10 SAFAR – Seorang remaja Palestin, Abdul Rahman Abu Jazar, 15, kini berisiko buta sebelah mata selepas ditembak secara kejam oleh tentera Israel ketika cuba mendapatkan bantuan makanan untuk keluarganya yang kelaparan di Gaza.
Remaja itu ditembak tepat di bahagian mata kirinya ketika berada di sebuah tapak agihan bantuan makanan di kawasan Taman al-Muntazah, Bandar Gaza, yang dikendalikan oleh organisasi GHF – sebuah badan yang mendapat sokongan dan kebenaran daripada Amerika Syarikat dan rejim Zionis.
Insiden menyayat hati itu berlaku ketika lebih 2 juta penduduk Gaza terus berdepan kebuluran paksa akibat sekatan menyeluruh dan pengeboman tanpa henti sejak Oktober lalu.
Menurut doktor yang merawatnya, kecederaan yang dialami Abdul Rahman adalah serius dan menembusi bola mata, menyebabkan beliau kemungkinan besar akan hilang penglihatan selama-lamanya.
“Saya dan adik-beradik saya sudah beberapa hari tidak makan. Itu kali pertama saya pergi ke pusat agihan bantuan, sekitar jam 2 pagi.
“Kami bergerak dengan orang ramai dan tiba kira-kira lima jam kemudian,” katanya kepada Al Jazeera dari katil hospital, dengan mata kirinya dibalut kain putih.
Namun sebaik sahaja tiba di lokasi tersebut, tentera Zionis melepaskan tembakan rambang ke arah orang awam yang sedang beratur dalam gelap demi mendapatkan sedikit makanan – tanpa sebarang amaran atau alasan.
“Kami sedang berlari apabila mereka mula menembak. Saya bersama tiga orang lain; tiga daripada kami terkena peluru. Kemudian saya rasa seperti renjatan elektrik dan rebah ke tanah. Saya sangka itu ajal saya,” katanya.
Lebih memilukan, walaupun sudah tercedera dan jatuh, tembakan tidak dihentikan.
“Mereka terus menembak. Saya jadi takut dan mula membaca doa. Saya pengsan. Bila sedar, saya bertanya kepada orang, ‘Di mana saya?’ Mereka kata saya telah ditembak di kepala,” jelasnya lagi.
Menurut laporan, doktor terpaksa menggunakan lampu telefon untuk memeriksa matanya. Apabila ditanya sama ada dia nampak cahaya, Abdul Rahman menjawab tidak. Pemeriksaan lanjut mengesahkan tembakan telah menembusi matanya.
“Saya sudah menjalani pembedahan. Saya harap penglihatan saya akan kembali, insya-Allah,” katanya penuh harapan. – AL JAZEERA