BANGI, 7 SAFAR – Kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci dasar-dasar negara yang dikorbankan dalam rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) hingga membawa kepada penurunan tarif import ke atas barangan Malaysia daripada 25 kepada 19 peratus.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata laporan sebuah media tempatan mendakwa Malaysia bersetuju mengiktiraf pensijilan halal AS serta membekalkan Unsur Nadir Bumi (REE) kepada negara kuasa besar itu sebagai sebahagian daripada konsesi rundingan.
“Kerajaan perlu memberi penjelasan segera kepada rakyat apakah dasar yang dijadikan konsesi atau dikorbankan sewaktu rundingan untuk mendapatkan penurunan tarif sebanyak 6 peratus tersebut?” kata Dr Radzi dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pengumuman kadar tarif baharu sebanyak 19 peratus menggambarkan bahawa satu bentuk rundingan berlangsung secara aktif dan mempersoalkan sejauh mana prinsip dan kepentingan negara dipertahankan dalam proses itu.
Beliau yang juga Naib Presiden Bersatu membangkitkan isu pensijilan halal yang sebelum ini digariskan kerajaan sebagai ‘redline’ atau garis sempadan yang tidak boleh dilanggar dalam sebarang rundingan antarabangsa.
“Jika benar Malaysia kini mengiktiraf pensijilan halal dari AS, apakah garis sempadan ini telah dilanggar? Apakah protokol pensijilan halal yang berbeza akan digunakan untuk AS berbanding negara lain? Lebih penting, apakah kesan tindakan ini terhadap kredibiliti pensijilan halal JAKIM?” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia selama ini dikenali sebagai peneraju industri halal global dengan sistem pensijilan yang ketat dan diyakini dunia Islam.
Sehubungan itu, katanya sebarang kelonggaran demi rundingan perdagangan bakal menghakis keyakinan itu.
Dr Radzi turut mempersoalkan kesahihan dakwaan bahawa Malaysia bersetuju mengeksport REE ke AS.
“Berapa peratus daripada hasil REE negara perlu dieksport ke AS? Memandangkan bidang kuasa berkaitan mineral adalah hak kerajaan negeri, adakah rundingan ini melibatkan maklum balas dan persetujuan kerajaan negeri?” soalnya.
Beliau juga meminta kerajaan mendedahkan sama ada terdapat konsesi lain yang turut dipersetujui, tetapi tidak dilaporkan secara terbuka kepada rakyat.
Katanya, kerajaan perlu memberikan penjelasan segera tentang semua perkara yang telah dijadikan konsesi dalam rundingan dengan AS.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi