Walaupun dibenci, PAS ada sumbangan kepada negara – Yusfarizal

BANGI, 4 SAFAR – Pengarah Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Selangor, meminta supaya kesilapan segelintir pemimpin PAS yang keterlaluan tidak disandar terus kepada perjuangan Islam, prinsip PAS mahu pun ahli-ahli parti yang lain. 

Yusfarizal Yussoff berkata, masyarakat juga perlu melihat sisi kebaikan dalam PAS dan kehadiran figura-figura hebat yang memperjuangkan Islam, dakwah dan siyasah Islam.

Menurutnya, terlalu ramai orang yang ikhlas dan berakhlak mulia dalam PAS. 

“Saya juga memohon agar, walaupun anda benci dan tidak akan mengundi PAS sehingga kiamat sekali pun, janganlah dikatakan PAS langsung tidak harus wujud dalam politik Malaysia. 

“PAS mungkin dilabel banyak perkara, tetapi yang saya pasti, PAS adalah jemaah islah, dakwah dan siyasah – parti politik dengan wadah yang sejahtera untuk orang seperti saya – tidak terlalu baik, mahu ditarbiyah dan mahu menyumbang kepada perjuangan Islam.

“PAS mungkin dibenci dan terus dibenci, tetapi yang saya pasti, tidak sedikit sumbangan PAS kepada negara ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini. 

Beliau yang juga pengamal undang-undang berkata, semua orang mengharapkan PAS  sempurna, ahli PAS ibarat malaikat, bahkan kalau tersilap, maka tidak boleh sama sekali diterima dan dimaafkan.

Katanya, ini kerana kerana imej PAS yang berjubah, berkopiah dan membawa obor Islam. 

Namun, katanya ahli PAS tetap manusia kerana parti itu menerima manusia biasa untuk berubah dan menyumbang, maka manusia tetap mempunyai sifat manusia. 

“Maafkanlah. Dalam keterbatasan penglibatan saya dalam PAS, saya telah melihat pelbagai sisi PAS.

“Namun, saya memilih untuk melihat sisi perjuangan Islam yang ingin dibawa oleh PAS, yang tidak pernah terkompromi. Maka saya memilih untuk bersama menyumbang dalam PAS. Yang buruk, sama-sama ditegur dan diperbetulkan. 

Yusfarizal menyertai PAS pada 2023 dengan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Marang, Terengganu.

Walaupun tidak merujuk kepada sesiapa mengenai identiti segelintir pemimpin PAS yang keterlaluan, ketika ini ramai pemimpin Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) mendesak Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga  Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, memohon maaf berikutan hantarannya dalam Facebook berkaitan isu perumpamaan haiwan.

Catatan Facebook yang telah dipadamkan, dikatakan menggambarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai sebagai karikatur haiwan.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

“Siapa kuasai ekonomi? Apa jadi dengan tanah Melayu?” – Soalan pedih buat bangsa sendiri

Next Post

Kerajaan laksana segera kajian kebolehlaksanaan usia persaraan wajib 65 tahun

Related Posts