BANGI, 4 SAFAR – Kerajaan menanggung kos pampasan RM568.92 juta kepada syarikat konsesi yang mengendalikan 10 lebuh raya berikutan keputusan untuk menangguhkan kenaikan kadar tol lebuh raya berkenaan pada tahun ini.
Namun, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah penangguhan kenaikan kadar tol itu memberi manfaat kepada kira-kira 941,000 pengguna di lebuh raya berkenaan.
“Jumlah pampasan sebenar yang perlu (kerajaan kepada syarikat konsesi akibat penangguhan ini) adalah berdasarkan jumlah trafik sebenar.
“Ini (jumlah RM568.92 juta) adalah (anggaran) purata kita (mengambil kira) dapatan masa lalu, tapi jumlah akhir tertakluk juruaudit operasi pihak kerajaan dan konsesi,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Alexander mengakui untuk memansuhkan bayaran tol bukan langkah yang mudah, terutama mengambil kira implikasi dana besar terpaksa ditanggung kerajaan.
Menurutnya, isu dana akan timbul terutama apabila kerajaan perlu mencari dana yang cukup besar sebagai contoh untuk tujuan penyelenggaraan sendiri lebuh raya yang dianggar mencecah berbilion ringgit.
“Kita punya pandangan bukan mudah nak mansuhkan tol…kalau mansuh, kerajaan mesti cari dana besar untuk buat kerja penyelenggaraan sebenarnya, jadi untuk tujuan ini perlu dana besar berbilion ringgit.
“Kalau begitu (guna dana besar untuk penyelenggaraan sendiri lebuh raya) kita boleh bayangkan dana kerajaan itu mungkin boleh guna untuk tujuan lain, sebagai contoh di Terengganu, Sarawak dan Sabah,” katanya.
Menurutnya, langkah menurunkan kadar tol mungkin lebih realistik, namun tertakluk kepada kedudukan syarikat konsesi lebuh raya terutama selepas mereka sudah mencapai tahap keuntungan atau ROI (pulangan pelaburan).
“Kita tak perlu mansuhkan, cuma kalau tempoh syarikat konsesi ini sudah mencapai keuntungan atau ROI, bolehlah pada masa itu kadar tol yang dikatakan membebankan sekarang ini diturunkan…itu lebih realistik,” katanya.
Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya supaya rakyat terus menikmati kadar tol yang sama.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, antara lebuh raya terbabit adalah Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi