Empat sekeluarga warga Afghanistan ditahan di KLIA guna visa palsu

KUALA LUMPUR, 4 SAFAR – Cubaan empat sekeluarga warga Afghanistan memasuki Malaysia menggunakan visa palsu digagalkan pihak berkuasa selepas mereka dikesan berlegar-legar secara mencurigakan di kawasan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

Menurut kenyataan Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS), keempat-empat mereka – seorang lelaki dan tiga wanita dewasa – didapati berada di terminal tanpa melalui proses pemeriksaan imigresen seperti yang sepatutnya.

Pemeriksaan dilakukan oleh Unit Pemantau KLIA Terminal 1 selepas pasukan pemantau mengesan gerak-geri mencurigakan. 

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua mereka tiba di Malaysia melalui penerbangan Emirates Airlines dari Dubai pada jam 9.20 malam, 24 Julai lalu.

“Siasatan lanjut mendapati mereka adalah ‘penumpang basi’, iaitu penumpang yang gagal melaporkan diri di kaunter pemeriksaan imigresen dalam tempoh masa yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.

AKPS mendedahkan bahawa semakan ke atas dokumen mendapati semua visa milik mereka adalah palsu.

“Difahamkan mereka berada di kawasan terminal selama empat hari tanpa melalui proses pemeriksaan imigresen seperti yang sepatutnya. Semakan ke atas dokumen perjalanan mendapati kesemua visa milik mereka adalah palsu,” menurut kenyataan itu seperti dilapor media tempatan.

Keempat-empat mereka juga disahkan antara 132 warga asing yang diperiksa dalam operasi saringan dokumen oleh Unit Pemantau KLIA yang dijalankan semalam.

“Hasil soal siasat lanjut mendapati keempat-empat mereka, dipercayai satu keluarga, mengaku tidak pernah menjejakkan kaki ke Uzbekistan seperti yang dinyatakan dalam dokumen perjalanan.

“Visa palsu itu pula diperoleh daripada seorang ejen dengan bayaran sebanyak USD6,000 (RM25,386.00),” jelas kenyataan tersebut.

Ekoran itu, pihak AKPS telah mengambil tindakan Not To Land (NTL) terhadap semua individu terbabit.

“Mereka akan dihantar pulang ke negara asal pada 30 Julai ini (esok) menerusi penerbangan Emirates Airlines,” katanya. 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Lelaki positif dadah ditahan selepas pukul kanak-kanak 12 tahun dengan tukul besi

Next Post

Hun Manet: Antara anak ayah dan harapan rakyat Kemboja

Related Posts