Turkiye dilanda 44 kebakaran serentak, Bursa paling terjejas

TURKIYE, 3 SAFAR – Kebakaran hutan besar yang mengelilingi bandar Bursa memaksa lebih 3,500 penduduk melarikan diri, ketika Turkiye bergelut memadam puluhan kebakaran serentak dalam cuaca panas melampau.

Hujung minggu lalu, api marak membakar kawasan sekitar bandar keempat terbesar di Turkiye, dengan asap tebal menyelubungi langit Bursa pada pagi Isnin. 

Fenomena gelombang haba luar biasa, kekeringan dan tiupan angin kencang menjadi faktor utama kebakaran terus merebak, bukan sahaja di Bursa, malah di beberapa wilayah lain sekitar Mediterranean timur.

Lebih menyayat hati, jumlah korban meningkat kepada empat orang pada Ahad, termasuk dua sukarelawan bomba yang maut selepas lori tangki air yang mereka naiki terbalik dalam perjalanan ke lokasi kebakaran. 

Seorang lagi pekerja maut di tempat kejadian, manakala seorang anggota bomba meninggal dunia akibat serangan jantung.

Setakat ini, jumlah korban kebakaran di seluruh Turkiye sejak akhir Jun meningkat kepada 17 orang, termasuk 10 anggota sukarelawan dan perhutanan yang maut dalam tragedi di Eskisehir pada minggu lalu.

Menurut Menteri Perhutanan, Ibrahim Yumakli, sekurang-kurangnya 44 kebakaran berasingan sedang ditangani pada Ahad, melibatkan kawasan paling kritikal di Bursa, Karabuk (barat laut) dan Kahramanmaras (selatan).

Kerajaan Turkiye telah mengisytiharkan dua wilayah, Izmir dan Bilecik, sebagai kawasan bencana. 

Sementara itu, menurut Menteri Kehakiman Yilmaz Tunc, sebanyak 97 individu sedang disiasat dalam 33 wilayah atas kemungkinan berkaitan punca kebakaran.

Walaupun pasukan bomba berjaya mengelak kerosakan besar ke atas rumah penduduk, namun beribu-ribu hektar hutan telah musnah menjadi abu, menyebabkan kemusnahan besar terhadap alam sekitar dan sumber asli negara. – AL JAZEERA

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Chegubard ditahan polis, disiasat 4 kesalahan termasuk Akta Hasutan

Next Post

Arab Saudi tegaskan tiada normalisasi dengan Israel selagi Gaza dizalimi

Related Posts