BANGI, 3 SAFAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menjelaskan kesalahan Allahyarham Tun Daim Zainuddin sehingga usaha merampas dan memburukkan nama bekas Menteri Kewangan itu berterusan walaupun sudah meninggal dunia.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perampasan harta milik individu kerana hanya ia diragukan oleh Perdana Menteri sepatutnya tidak boleh dilakukan.
Katanya, perbuatan itu adalah salah dari segi undang-undang, malah rampasan tersebut adalah sama dengan mencuri.
“Yang boleh hukum ialah mahkamah selepas perbicaraan. Perdana Menteri tidak ada hak menjatuhi hukum.
“Walaupun nama tidak disebut, tetapi harta yang dirampas memang milik Tun Daim.
“Menjadi hak dan tanggungjawab masyarakat menjelas kesalahan kerajaan.
“Tun Daim sudah tidak ada. Oleh itu, beliau tidak dapat pertahan diri. Kerana itu kerajaan Anwar dapat menuduh dengan selamat,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, umum ketahui bahawa Daim sudah menjadi kaya sebelum menganggotai Kabinet.
Katanya, semasa menjadi menteri, Daim dalam proses menyerah perniagaannya kepada pihak lain sebelum kembali berniaga selepas melepaskan jawatan yang disandang.
Tegas beliau, segala langkah yang diambil Daim adalah bagi memastikan beliau tidak dituduh mendapat keistimewaan dalam menjalankan urus niaga di luar negara.
“Tidak pula ada skandal apa-apa di negara dimana ia bergiat. Kalau mereka tidak ragu, tidak menuduh apa-apa kesalahan Daim, bagaimana Perdana Menteri malaysia boleh ragu, buat tuduhan dan menjatuh hukum.
“Kabinet juga tidak ada hak menghukum. Konon nak bawa balik duit Tun Daim untuk rakyat.
“Undang-undang apa yang memberi hak kepada kerajaan Malaysia merampas harta rakyat Malaysia di luar negara untuk apa tujuan pun,” katanya lagi.
Tambah beliau, sebaliknya hari ini rakyat melihat bagaimana kroni Anwar dapat kontrak bernilai berbilion ringgit manakala anaknya diberi jawatan tanpa proses biasa.
“Ada pula orang yang sedang dituduh seleweng kerajaan yang tiba-tiba ditarik balik tuduhan. Kalau ini bukan rasuah, apakah makna rasuah?
“Sudah-sudahlah mendabik dada sebagai pejuang rasuah. Awak sendiri merestui rasuah, nepotisme dan kronisme,” tambahnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi