BANGI, 3 SAFAR – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan pertuduhan jenayah dikenakan terhadap pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang terbabit dalam penyalahgunaan kuasa meluluskan pengeluaran pas lawatan sosial kategori visa perubatan kepada warga asing secara tidak sah.
Ini berikutan hasil siasatan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 17, Akta EAIC 2009 (Akta 700) dan diketuai oleh Pesuruhjaya EAIC, Dato’ Seri Dr Razali Ab Malik.
Menurut Dr Razali, Pasukan Petugas Khas telah meneliti pelanggaran dalam proses kelulusan visa perubatan, termasuk semakan terhadap pematuhan tatacara sedia ada, pengambilan keterangan saksi-saksi berkaitan, penyitaan dokumen, serta penyediaan syor yang bersesuaian untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.
“Siasatan Pasukan Petugas Khas mendapati bahawa terdapat penyalahgunaan kuasa oleh pegawai Imigresen yang meluluskan visa perubatan kepada warga asing dari beberapa negara.
“Ini dilakukan walaupun menyedari bahawa dokumen permohonan yang dikemukakan adalah tidak lengkap dan tidak mematuhi ketetapan dalam Pekeliling Imigresen Malaysia Bil. 10/2001,” kata EAIC dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan ini kepada Jabatan Peguam Negara, selaras dengan peruntukan Perenggan 30(1)(c), Akta 700.
EAIC mengesyorkan agar pertuduhan jenayah dikenakan terhadap pegawai JIM terlibat di bawah peruntukan Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan/atau) Akta Pasport 1966 (Akta 150).
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi