BANGI, 3 SAFAR – Aktivis politik dan ahli BERSATU, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, ditahan polis di kediamannya hari ini.
Perkara itu disahkan peguamnya, Rafique Rashid dalam kenyataan sebentar tadi.
Menurut Rafique, pihaknya sebelum ini menerima laporan polis terhadap CheguBard berkaitan Himpunan Turun Anwar yang diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu lepas.
“Kertas siasatan dibuka atas dakwaan empat kesalahan iaitu Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948,” katanya.
Mengulas lanjut, Rafique turut mempertikaikan penahanan itu apabila satu temu janji antara pegawai penyiasat dan anak Chegubard sudah ditetapkan pada Selasa ini jam 11 pagi.
Oleh itu, katanya, tangkapan tersebut adalah tidak diperlukan kerana Chegubard telah memberi akujanji untuk menghadirkan diri di Bukit Aman.
“Tindakan pihak berkuasa dan/atau arahan yang diberikan oleh pihak atasan adalah amat dikesali lebih-lebih lagi apabila tiada sebarang insiden tidak diingini semasa dan/atau susulan daripada Himpunan Turun Anwar.
“Pihak kami akan menghubungi pegawai penyiasat berkenaan dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” tambahnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi