BANGI, 28 MUHARRAM – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetap bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun terdapat desakan dan suara-suara tertentu menggesa supaya bergerak secara solo, keputusan untuk meneruskan kerjasama itu adalah demi kestabilan politik negara.
Bagaimanapun beliau yang juga Pengerusi BN berkata, UMNO-BN berpendirian untuk kekal menggunakan lambang dacing dalam pilihan raya.
“Untuk masa depan, kita tidak akan (bergerak) solo walaupun ada suara yang mahu kita berbuat demikian. Tapi kita tetap guna lambang BN, namun dalam masa yang sama kerjasama dengan parti-parti lain tetap berjalan.
“Inilah yang dikehendaki oleh ahli UMNO dan sudah pasti, parti lain seperti MIC dan MCA juga mahu gunakan lambang yang sama ,” katanya dalam ucaptama sempena BN Forum Ke-6 bertajuk Masa Depan Politik Kerjasama Malaysia di Kuala Lumpur, malam tadi.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun ada suara-suara tidak mahu menggunakan lambang BN, selagi kepemimpinan utama dalam politik kerjasama ini mahu menggunakan lambang BN, pihaknya menganggap suara yang tidak mahu sebagai pendapat peribadi.
Menurutnya, walaupun UMNO- BN kekal bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16, sebarang strategi politik selepas pilihan raya itu akan ditentukan berdasarkan prestasi semua pihak.
“Kita tidak tahu dapat berapa (kerusi), mereka dapat berapa. Tapi ingat, di Malaysia ini lazimnya perbezaan pandangan berdasarkan warna parti adalah nostalgia. Kita sanggup lupakan warna yang berbeza demi kestabilan politik,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi