BANGI, 28 MUHARRAM – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyifatkan laporan bahawa ahli perniagaan yang menjadi buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low, kini menetap di Shanghai, China dan menggunakan pasport palsu Australia hanya dakwaan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hasil semakan dan maklumat yang diterima setakat ini tidak menemukan sebarang bukti atau fakta sokongan yang sahih berhubung lokasi Jho Low dan penggunaan pasportnya.
Katanya, laporan tertentu yang mengaitkan lokasi serta penggunaan pasport Jho Low belum disokong dengan apa-apa bukti sah sehingga kini.
“Jadi ia kekal sebagai dakwaan,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di sini, hari ini.
Sehubungan itu, katanya KDN menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menjalinkan kerjasama erat dan berterusan dengan pihak berkuasa serta agensi penguat kuasa antarabangsa bagi mengesan lokasi Jho Low.
Baru-baru ini, terdapat dakwaan menyatakan Jho Low yang terlibat skandal 1MDB menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai, China dengan menggunakan pasport palsu Australia.
Sementara itu, Saifuddin berkata, pusat operasi NSRC sedia ada akan dipindahkan ke Cyberjaya pada September ini dan premis baharu itu akan dilengkapi kemudahan terkini dan ruang lebih luas serta kaunter aduan bagi memudahkan orang ramai membuat aduan secara fizikal.
Katanya, keputusan memindahkan pusat operasi akan disertai dengan penambahan 139 perjawatan dan pertambahan agensi.
“Sekarang ini saya sebut empat, tapi secara prinsipnya, kita bersetuju untuk menerima penyertaan dua lagi agensi, iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Suruhanjaya Sekuriti.
“Jadi ini ke arah pengukuhan lagi supaya penyertaan dua agensi baharu itu sebagai tambahan kepada empat agensi sedia ada dengan sendiri menjadikan kedudukan NSRC dapat memenuhi fungsinya,” katanya.
Ketika ini, empat agensi yang menganggotai NSRC ialah PDRM, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi