BANGI, 27 MUHARRAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau tidak mahu sebarang imuniti diberikan kepadanya berhubung isu kegagalan memfailkan rayuan dalam kes Pulau Batu Puteh.
Beliau menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mendakwanya walaupun didakwa bersalah atas alasan usia 100 tahun sebagai satu tindakan yang seolah-olah memberikan imuniti.
“Saya tidak mahu imuniti. Jika tuduh saya bersalah, hadapkan saya di mahkamah dan buktikan saya bersalah. Saya tahu saya tak bersalah dan saya mahu buktikan.
“Imuniti untuk orang yang takut ke mahkamah disebabkan sedar dirinya bersalah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Anwar memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa Kabinet sebulat suara membuat keputusan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri tersebut atas faktor usia yang sudah lanjut.
Meskipun kerajaan berpendapat bahawa keputusan Dr Mahathir pada 2018 untuk tidak meneruskan semakan kehakiman terhadap tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh merupakan satu kesilapan, tindakan undang-undang tidak diambil sebagai menghormati keadaan beliau.
Mengulas lanjut, beliau turut menyindir Anwar yang disifatkannya bukan sahaja bertindak sebagai Perdana Menteri, malah seolah-olah memainkan peranan sebagai pendakwa raya dan hakim dalam isu berkenaan.
“Yang hukum saya bersalah ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar. Yang umum saya tidak perlu diambil tindakan ialah Datuk Seri Anwar.
“Ini bermakna Datuk Seri Anwar bukan sahaja PM, dia juga hakim dan juga pendakwaraya. Begitulah hebat kuasanya. Tetapi Perlembagaan tidak sebut Perdana Menteri boleh jadi pendakwaraya atau hakim,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi