SEJAK pagi tadi, media sosial dibanjiri dengan pelbagai reaksi terhadap pengumuman ‘penghargaan luar biasa’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Daripada bantuan tunai sebanyak RM100 secara sekali bayar, cuti umum tambahan pada 15 September, penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya, hinggalah pengurangan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter – semuanya diumumkan serentak, seolah-olah mahu menyapu bersih keresahan rakyat dalam satu nafas.
Sekilas pandang, ramai yang bersorak. Ada yang bersyukur. Namun tidak kurang juga yang menyindir, berhati-hati dan bertanya: Mengapa sekarang? Mengapa baru hari ini semuanya boleh diumumkan?
Bukankah sebelum ini rakyat dihujani dengan naratif bahawa negara sedang kekurangan dana, subsidi membebankan kedudukan fiskal negara, dan rakyat perlu bersedia untuk berkorban demi penstrukturan semula ekonomi?
Namun kini, setelah gelombang kritikan terhadap kerajaan semakin memuncak – dari media sosial sehinggalah ke jalanan – tiba-tiba semua permintaan seolah-olah menjadi mampu dan boleh ditunaikan dalam tempoh satu hari.
Apa yang lebih menarik perhatian, pengumuman ini hadir hanya beberapa hari menjelang Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai ini. Maka timbul persoalan yang lebih besar, adakah ini benar-benar tanda keprihatinan, atau satu langkah politik untuk meredakan tekanan awam yang semakin meningkat?
Ramai melihat pengumuman ini sebagai cubaan menyejukkan kemarahan rakyat. Namun sebahagian yang lain melihatnya sebagai bukti bahawa tekanan rakyat itu berkesan. Jika hanya dengan suara lantang dalam tempoh dua minggu, kerajaan sudah mula tunduk dan memberi ‘penghargaan luar biasa’, maka apa lagi yang boleh dicapai jika rakyat terus bangkit dan bersatu?
Hakikatnya, ekonomi rakyat masih belum stabil. Harga barangan tidak turun, pendapatan tidak meningkat, cukai baharu terus diperkenalkan, dan dasar subsidi masih dalam proses dikaji untuk disasarkan semula.
Perlu juga diingat bahawa kerajaan telah merancang untuk mengumumkan rasionalisasi subsidi petrol RON95 pada penghujung bulan September ini, sesuatu yang berpotensi membawa kesan besar kepada rakyat selepas ‘bulan madu’ yang sedang dinikmati ketika ini.
Justeru, persoalan penting kini muncul:
Adakah bantuan tunai RM100 dan penurunan harga petrol sebanyak 6 sen itu cukup untuk melembutkan semangat rakyat yang sedang membara? Atau adakah ia sebenarnya menyuntik keyakinan bahawa suara rakyat tidak sia-sia, bahkan sedang membuahkan hasil?
Rakyat Malaysia bukan golongan yang mudah lupa, apatah lagi mudah dibeli. Mereka menginginkan dasar yang jujur, hala tuju yang jelas, serta pemimpin yang berani memimpin dengan prinsip, bukan yang hanya bertindak selepas diasak oleh suara awam.
Jika seorang pemimpin hanya bergerak apabila ditekan, maka tekanan itu tidak seharusnya dihentikan. Jika satu himpunan pun sudah cukup untuk menggoyahkan dasar yang sebelum ini dianggap tidak boleh diganggu, maka gelombang rakyat perlu diteruskan, bukan dipatahkan.
Kini persoalannya, adakah rakyat akan terus diam selepas menerima ‘penghargaan luar biasa’? Atau ini hanyalah permulaan kepada satu kebangkitan yang lebih besar?
Siti Fatimah Ishak
Wartawan TV Pertiwi
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi