DHAKA, 26 MUHARRAM – Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan 164 lagi cedera apabila sebuah jet latihan Tentera Udara Bangladesh yang mengalami masalah teknikal sejurus berlepas, terhempas di kawasan kampus kolej dan sekolah di ibu negara ini semalam.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Sami Ud Dowla Chowdhury, berkata jet F-7 BGI berlepas pada jam 1:06 tengah hari waktu tempatan dari pangkalan Tentera Udara Bangladesh di Kurmitola sebagai sebahagian daripada misi latihan rutin. Namun jet itu menghadapi kerosakan mekanikal.
“Juruterbang…berusaha sebaik mungkin untuk melencongkan pesawat dari kawasan berpenduduk padat. Namun, walaupun dengan segala usahanya, pesawat itu…terhempas ke sebuah bangunan dua tingkat milik Milestone School and College,” katanya.
Juruterbang terbabit turut disahkan antara yang terkorban dalam nahas itu. Berikutan itu, tentera memaklumkan bahawa sebuah jawatankuasa siasatan ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian.
Menurut Jane’s Information Group, F-7 BGI merupakan varian terakhir dan paling canggih dalam keluarga pesawat Chengdu J-7/F-7 buatan China. Bangladesh menandatangani kontrak bagi pembelian 16 pesawat itu pada 2011 dengan penghantaran selesai pada 2013.
Chengdu F-7 merupakan versi berlesen pesawat MiG-21 buatan Kesatuan Soviet.
Rakaman video selepas kejadian itu menunjukkan kebakaran besar berhampiran kawasan rumput dengan asap tebal menjulang ke langit, disaksikan orang ramai dari jauh.
Pasukan bomba dilihat menyembur air ke atas bangkai pesawat yang remuk selepas kelihatan merempuh sisi bangunan, merosakkan jeriji besi dan mengakibatkan lubang besar pada struktur tersebut.
“Seorang murid darjah tiga dibawa dalam keadaan sudah meninggal dunia, dan tiga lagi mangsa berusia 12, 14 dan 40 tahun dimasukkan ke hospital,” kata Ketua Unit Kebakaran Hospital Kolej Perubatan Dhaka, Bidhan Sarker, tempat beberapa mangsa dirawat.
Imej di tempat kejadian juga menunjukkan suasana panik dengan tangisan dan jeritan, sementara orang lain cuba menenangkan mangsa yang terkesan.
“Semasa saya sedang menjemput anak-anak saya dan sampai ke pintu pagar, saya sedar ada sesuatu datang dari belakang…saya dengar letupan. Bila saya toleh ke belakang, saya hanya nampak api dan asap,” kata guru sekolah itu, Masud Tarik.
Kejadian ini berlaku lebih sebulan selepas pesawat Air India terhempas di atas asrama kolej perubatan di bandar Ahmedabad, India, mengorbankan 241 daripada 242 orang dalam pesawat dan 19 orang di darat, menjadikannya bencana penerbangan terburuk dunia dalam tempoh sedekad. – REUTERS
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi