BANGI, 22 MUHARRAM – Perdana Menteri sedia berbincang dan menjelaskan kepada pimpinan UMNO berhubung Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Namun Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak boleh mendahului mahkamah kerana perkara mengenai Titah Adendum sudah dirujuk kepada badan kehakiman.
“Ramai Ketua UMNO bahagian membangkitkan isu adendum dan mohon supaya ada pertemuan dengan saya, menggesa supaya ada pelaksanaan,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Istiqlal, Presint 14 di Putrajaya, hari ini..
Anwar berkata: “Saya sudah beritahu kepada Presiden UMNO, Timbalan Presiden UMNO dan pimpinan UMNO bahawa saya sedia mengadakan perbincangan dengan mereka, memberi penjelasan sekiranya perlu atau melakukan apa yang baik untuk menjaga keharmonian.”
Titah Adendum yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari lalu, dikatakan membolehkan Najib menjalani baki hukumannya di rumah. Perkara itu kini dirujuk ke Mahkamah Tinggi selepas peguam Najib memfailkan permohonan untuk mengesahkan kewujudan dan pelaksanaan titah tersebut.
Tekanan daripada UMNO semakin kuat apabila ramai ketua bahagian dan pimpinan parti itu menggesa kerajaan agar melaksanakan titah berkenaan, dengan alasan ia mencerminkan semangat keadilan terhadap bekas presiden mereka.
Gesaan itu dilihat sebagai ujian dalaman terhadap kestabilan gabungan kerajaan perpaduan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi