Nahas Air India: Komunikasi juruterbang dan suis enjin fokus siasatan awal

NEW DELHI, 20 MUHARRAM –  Laporan awal siasatan tragedi pesawat Air India Boeing 787 Dreamliner yang terhempas di Ahmedabad bulan lalu mendedahkan detik-detik kekeliruan dalam kokpit, apabila suis bahan api kedua-dua enjin dilaporkan tertutup secara serentak tanpa penjelasan yang jelas.

Nahas pada 12 Jun itu meragut 260 nyawa di dalam pesawat, menjadikannya insiden penerbangan komersial paling buruk dalam tempoh sedekad.

Menurut dokumen siasatan setebal 15 muka surat, perakam suara kokpit (CVR) merekodkan situasi juruterbang utama bertanya kepada rakan setugas mengapa bekalan bahan api terputus. Juruterbang kedua bagaimanapun menafikan tindakan itu dilakukan olehnya.

Lebih kurang 20 saat kemudian, isyarat kecemasan “MAYDAY” dihantar sebelum pesawat terhempas.

Dua juruterbang terlibat dikenal pasti sebagai Kapten Sumeet Sabharwal dan Pegawai Pertama Clive Kunder, yang masing-masing memiliki 15,638 jam dan 3,403 jam pengalaman penerbangan.

Siasatan masih berjalan, laporan penuh belum dimuktamadkan

Ketua Pegawai Eksekutif Air India, Campbell Wilson dalam satu memo dalaman menyifatkan laporan awal tersebut sebagai tidak konklusif dan menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.

“Saya menyeru semua pihak agar tidak membuat kesimpulan terburu-buru sehingga laporan akhir diterbitkan,” katanya.

Difahamkan, laporan penuh siasatan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk disiapkan.

Tekanan terhadap Air India dan Boeing

Tragedi ini mencetuskan cabaran baharu terhadap Air India yang sedang bergelut untuk memperkukuh kedudukan sebagai syarikat penerbangan bertaraf dunia, selain terus memberi tekanan terhadap syarikat Boeing yang terpalit dengan beberapa isu keselamatan dan pengeluaran sejak beberapa tahun kebelakangan.

Waris mangsa tuntut keadilan

Salah seorang bapa kepada mangsa yang terkorban dalam nahas itu menyeru agar pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan tegas selepas laporan awal tersebut didedahkan.

“Kami tidak mahu tragedi ini dianggap sebagai satu kesilapan teknikal biasa. Seseorang mesti bertanggungjawab,” katanya kepada media tempatan.

Insiden ini sekali lagi mencetuskan kebimbangan antarabangsa berhubung tahap keselamatan pesawat moden, termasuk model Dreamliner yang sebelum ini dipromosikan sebagai antara yang tercanggih di dunia. – AGENSI

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tiada pengumuman paling besar kecuali PMX letak jawatan – Fadhli Shaari

Next Post

Nick Adams sebagai Duta AS ke Malaysia: Siapa lelaki kontroversi ini?

Related Posts