Bersukan waktu malam menyebabkan kematian?

Gambar hiasan

BANGI, 20 MUHARRAM – Isu kematian mengejut ketika bersukan waktu malam mencuri perhatian selepas satu ciapan di media sosial mendakwa bahawa aktiviti fizikal pada waktu itu boleh membawa maut.

Walaupun tiada bukti, hantaran itu pantas mencetuskan panik dan keraguan dalam kalangan masyarakat yang menjadikan waktu malam sebagai masa utama untuk bersenam akibat kesibukan harian.

Bagaimanapun menurut pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) terkenal, Dato’ Dr Mohd Rushdan Md Noor, menyalahkan waktu bersukan sebagai punca kematian adalah tidak tepat dan mengelirukan orang ramai.

“Masing-masing mempunyai waktu lapang dan bekerja yang berbeza. Berhenti bersenam atau bersukan kerana takut melakukan pada waktu malam lebih memudaratkan sedangkan senaman dan bersukan adalah aktiviti yang menyihatkan untuk semua orang jika dilakukan dengan betul. 

“Hasil kajian mendapati dalam konteks laporan kes kematian mengejut akibat serangan jantung, waktu kemuncak berlaku kematian mengejut adalah antara jam 7 – 9 pagi.

“Apabila dibandingkan waktu siang dan malam, 77 peratus kes (kematian mengejut) berlaku pada waktu siang dan 23 peratus pada waktu malam,” katanya dalam tulisannya di media sosial, hari ini. 

Beliau yang juga bekas Ketua Perkhidmatan O&G Kebangsaan Kementerian Kesihatan berkata, banyak acara sukan termasuk olahraga dan bola sepak dijalankan pada waktu malam dan setakat ini, belum ada peraturan melarang acara sukan pada waktu itu.

“Selagi tidak ada bukti kukuh yang mengaitkan risiko kematian dan waktu bersukan, lebih munasabah berpegang kepada prinsip yang dinyatakan di atas. Bersukan pada waktu malam ada juga kelebihan seperti suhu yang lebih sejuk, risiko dehidrasi dan kejutan haba (heat stroke) lebih rendah. 

“Oleh itu, sila dapatkan pandangan petugas profesional atau doktor berkenaan dengan apa saja isu kesihatan,” katanya.

Dr Mohd Rushdan menegaskan bahawa kegagalan menjalankan pemeriksaan, membuat persediaan yang betul sebelum bersukan dan tidak tahu had kemampuan diri adalah punca serangan jantung semasa bersukan.

“Serangan jantung boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana jika seseorang menghidap penyakit jantung yang tidak dikesan, terlebih bersemangat tanpa latihan cukup, atau terus melakukan senaman berat selepas seharian stres dan keletihan.

“Untuk elak risiko, buat saringan dan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu, terutama bagi mereka berumur 35 tahun ke atas, menghidap penyakit kronik atau ada sejarah keluarga penyakit jantung,” katanya.

Beliau menyarankan sebelum bersukan atau bersenam, mulakan dengan senaman ringan dan dipertingkatkan secara berperingkat, memanaskan badan dan elak makan berat atau kafein. 

Jika sakit dada, sesak nafas luar biasa, atau pening, katanya aktiviti itu perlu dihentikan serta-merta dan mendapatkan rawatan.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Mahkamah Rayuan kekal keputusan lucut hak kereta isteri bekas ADUN Ladang

Next Post

Harga RON97, diesel di Semenanjung meningkat 3 sen – MOF

Related Posts