BANGI, 18 MUHARRAM – Perdana Menteri yang sedang berdepan perbicaraan di mahkamah kini menjadi pihak yang menasihati pelantikan Ketua Hakim Negara, suatu situasi luar biasa yang menimbulkan persoalan serius mengenai kewajaran dan kebebasan sistem keadilan negara.
Pensyarah Kanan Undang-undang dan Polisi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof menegaskan, proses pelantikan Ketua Hakim Negara bukan urusan pentadbiran rutin, sebaliknya memerlukan ketelitian kerana implikasinya terhadap keutuhan institusi kehakiman.
“Pelantikan ini dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Selain itu, PM yang menasihati itu perlu pula mendapat saranan dan cadangan dari Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman. Jadi prosesnya melibatkan banyak pihak,” katanya.
Beliau berkata, institusi Raja-Raja Melayu tidak boleh dilihat sebagai sekadar melengkapkan prosedur, kerana mereka memikul amanah besar untuk melindungi prinsip keadilan dan menjamin kebebasan badan kehakiman daripada pengaruh berkepentingan.
Dr Fathi turut mengulas kebimbangan rakyat berhubung kebocoran minit mesyuarat yang mendedahkan isu integriti melibatkan individu tertentu dalam badan kehakiman, termasuk seorang tokoh yang dikatakan menjadi calon utama ke jawatan Ketua Hakim Negara.
“Perlu diingat, pelantikan ini dilatari dengan beberapa isu termasuk kebocoran minit mesyuarat yang mengandungi fakta berkaitan kelemahan integriti dan kewibawaan individu tertentu dalam badan kehakiman, termasuk seorang yang disebut-sebut sebagai calon Ketua Hakim Negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Namun yang lebih membimbangkan, kata beliau, ialah hakikat bahawa Perdana Menteri sendiri sedang berdepan dengan satu kes mahkamah yang berkait rapat dengan maruah serta kelayakannya untuk terus memimpin negara – tetapi dalam masa sama berperanan menasihati pelantikan jawatan tertinggi kehakiman.
“Beliau berdepan dengan kes sedemikian, dan dalam masa sama menasihati YDPA untuk melantik Ketua Hakim Negara yang akan punya pengaruh besar dalam menentukan hala tuju kes beliau,” tegasnya.
Tambah Dr Fathi, situasi ini menuntut institusi Raja-Raja untuk bertindak sebagai pengimbang kuasa yang berani dan berprinsip, selaras dengan harapan rakyat yang mendambakan sistem keadilan yang benar-benar bebas, telus dan berintegriti.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi