Tafsiran rahmah cara liberal: Ancaman senyap terhadap Islam

ISTILAH rahmatan lil alamin yang mengangkat Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat bagi seluruh alam, kini menjadi medan tafsiran semula oleh kelompok tertentu yang cuba menyesuaikan ajaran Islam dengan kehendak budaya semasa. 

Apa yang lahir bukanlah kaedah yang menambah kefahaman umat terhadap agama, tetapi satu bentuk tafsiran longgar yang hakikatnya membuka pintu kepada liberalisasi nilai dan peleraian hukum.

Dalam wacana semasa, istilah “rahmah” digunakan untuk melunakkan syariat. Perintah yang sebelum ini jelas seperti larangan zina, kewajiban menutup aurat, dan kecaman terhadap hubungan sejenis kini didakwa perlu ditafsir semula demi kesesuaian zaman, keterbukaan minda, dan hak individu. 

Sebagai contoh, ada yang mencadangkan larangan zina tidak lagi dipandang sebagai dosa berat yang perlu dihukum, sebaliknya diambil pendekatan yang lebih ‘berhemah’ tanpa menghakimi.

Pendekatan ini perlahan-lahan mengikis semangat sebenar Islam: dari sistem hidup yang lengkap kepada satu anutan peribadi yang enggan menegur atau menyusun masyarakat.

Lebih membimbangkan, hujah sebegini tidak datang dari golongan pinggiran sahaja, malah tokoh akademik dan penyelidik dasar awam yang digelar ‘reformis Islam’ turut mengangkat pandangan sebegini. Hujah liberal yang berwajah intelektual sering lebih berpengaruh daripada seruan agama yang sahih.

Dalam naratif baharu ini, syariat dianggap keras, kuno dan tidak selari dengan semangat rahmah. Mereka berpendapat “Islam yang penuh kasih sayang” tidak sepatutnya menghukum.

Maka, hukum hudud dipersoal, teguran terhadap maksiat dianggap judgmental, dan usaha menegakkan amar makruf nahi mungkar dicap sebagai ekstremisme moral. Misalnya, usaha menegakkan undang-undang hudud sering dikritik sebagai tidak relevan dengan masyarakat moden.

Presiden Nasionalis, Haji Aminuddin Yahaya (sebelum ini Presiden ISMA) pernah memberi amaran serius mengenai ancaman ini, antaranya berkata:

“Gerakan Liberalisma atau ‘pembebasan’ adalah merupakan ancaman utama umat Islam di negara ini. Gerakan yang dipelopori oleh orientalis barat ini sedang melebarkan fahaman mereka di kalangan umat Islam sehingga ia kini makin dipercayai dan dilihat sebagai fahaman Islam progresif. 

“Bagi mereka, sesiapa yang menentang fahaman sesat mereka ini akan dilabelkan sebagai pemikiran yang jumud dan tidak terbuka.” 

Beliau menegaskan bahawa golongan liberal berusaha menukar Islam menjadi satu agama peribadi yang boleh dipersoalkan dan dilanggar syariat sesuka hati.

Fahaman liberal ini berkembang dengan strategi terancang, menyusup ke wacana pendidikan, pelan dasar kerajaan dan forum intelektual dengan menggunakan istilah agama seperti maqasid syariah, maslahah dan rahmah.

Golongan ini tidak menggunakan istilah ‘liberal’ secara terang, tetapi memutar belitkan makna istilah agama untuk menyebarkan tafsiran asing daripada maksud asal. Contohnya, di beberapa universiti, istilah maqasid syariah digunakan untuk mengutamakan kemaslahatan individu tanpa menghiraukan batas syariat.

Ini adalah bentuk kolonialisme baru, penjajahan makna dan nilai, yang boleh mengelirukan umat Islam antara benar dan salah.

Kita kini berada di persimpangan penting dalam memahami Islam. Istilah mulia seperti rahmatan lil alamin tidak boleh diperalatkan untuk menanggalkan syariat dan membuka ruang kepada nilai yang bercanggah dengan agama. Ancaman ini datang dalam bentuk yang halus, melalui retorik manis dan pendekatan inklusif yang mudah diterima.

Jika kita berdiam diri, tidak mustahil generasi akan mewarisi pemahaman Islam yang longgar dan tanpa prinsip yang jelas.

Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk bersama-sama menegakkan kefahaman yang benar mengenai rahmah. Rahmah adalah kasih sayang Ilahi yang berpandukan syariat dan hikmah, bukan alasan untuk melemahkan hukum dan membiarkan kemungkaran berleluasa.

Siti Fatimah Ishak, Wartawan TV Pertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Suara Melayu makin tenggelam di media?

Next Post

Trump dijangka hadir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Malaysia

Related Posts