AS masih berunding, tarif baharu bukan muktamad

WASHINGTON, 15 MUHARRAM – Amerika Syarikat (AS) bersikap terbuka untuk menyelaras kadar tarif yang dikenakan terhadap pelbagai negara seluruh dunia, termasuk Malaysia yang dikenakan sebanyak 25 peratus.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, negara itu sedang aktif berunding dengan pelbagai negara untuk menyeimbangkan semula perdagangan.

Menurutnya, pasaran mahukan kepastian dan perlu memberitahu semua pihak mengenai kadar asas tarif yang akan bermula pada 1 Ogos, tetapi rundingan tetap diteruskan.

“Terdapat rundingan dengan Jepun pada minggu depan. Rundingan juga sedang dilaksanakan dengan hampir semua negara yang hadir. Jadi, ini adalah rakan kongsi penting,” katanya di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) di sini, semalam.

Isnin lalu, AS mengenakan kadar tarif baharu antara 25 hingga 40 peratus ke atas 14 negara dan mengeluarkan perintah eksekutif yang melanjutkan tarikh pelaksanaan tarif timbal balik berkuat kuasa pada 1 Ogos.

Rubio berkata, semua negara berkenaan akan menerima surat berkaitan usaha Trump untuk menyeimbangkan semula perdagangan global.

Menurutnya, Presiden AS telah menyatakan dengan jelas, iaitu keadaan perdagangan global semasa adalah tidak adil kepada pekerja dan ekonomi AS menyebabkan kadar tarif itu adalah usaha untuk menyeimbangkan semula keadaan itu pada skala global.

“Saya boleh katakan bahawa apabila semuanya selesai, banyak negara di Asia Tenggara akan menikmati kadar tarif yang sebenarnya lebih baik berbanding negara-negara lain di dunia, dan itu mungkin memberi manfaat,” katanya.

Sementara itu, Rubio berkata AS komited untuk memperdalamkan kerjasama strategik dan ekonomi di Indo Pasifik, terutama di Asia Tenggara.

Beliau menyifatkan mesyuarat tiga hala baru-baru ini dengan Jepun dan Filipina sebagai “sangat baik” sekali gus mengesahkan kerjasama teguh dalam keselamatan maritim, integriti wilayah dan pembangunan koridor ekonomi.

“Kami bekerjasama erat dengan Jepun dan Filipina serta terus membina kerjasama ini. Kami juga menunggu kunjungan Presiden Filipina ke Washington dalam masa beberapa hari lagi,” katanya.

Sambil menekankan kepentingan rantau ini, Rubio berkata, lebih 6,000 syarikat AS  melabur di Asia Tenggara, dan menyatakan bahawa “rantau ini mempunyai populasi paling muda dari segi demografi” dengan potensi pertumbuhan yang besar.

“Sejarah abad ke-21 akan banyak berlaku di Indo-Pasifik, khususnya Asia Tenggara. Kami telah menghabiskan masa selama beberapa dekad untuk membina hubungan ini dan kami tidak akan menarik diri – malah kami berhasrat meluaskannya,” katanya. 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Trump dijangka hadir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Malaysia

Next Post

UMNO-BN Menjelang PRU-16: Dilema memilih strategi

Related Posts