Tun Mahathir 100 tahun: Disiplin, kesihatan dan rahsia panjang umur

BANGI, 14 MUHARRAM – Hari ini genap 100 tahun usia Tun Dr Mahathir Mohamad, menjadikannya bukan sahaja bekas Perdana Menteri tertua dalam sejarah Malaysia, malah antara negarawan paling lama bertahan di pentas politik dunia.

Sejak bersara daripada jawatan Perdana Menteri buat kali kedua pada 2020, Dr Mahathir terus aktif menyuarakan pandangan dan menghadiri program awam, meskipun kesihatannya beberapa kali terjejas akibat faktor usia dan komplikasi jantung.

Dalam pelbagai temu bual sebelum ini, Dr Mahathir secara terbuka berkongsi rahsia gaya hidupnya yang menjadi tunjang kepada ketahanan tubuh dan mindanya.

Beliau menekankan prinsip `makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan’ dan mengamalkan pemakanan secara terkawal sejak usia muda. 

Ini termasuk menolak makanan bergula secara berlebihan, mengelakkan makanan berlemak, dan berhenti makan sebelum kenyang. Kopi yang diminum pun tanpa gula, satu amalan yang beliau anggap kecil, tetapi mempunyai kesan besar kepada kesihatannya dalam jangka panjang.

Namun, rekod kesihatan Dr Mahathir sepanjang kerjaya beliau tidak sunyi daripada pelbagai cabaran.

Beliau pernah mengalami serangan jantung sebanyak tiga kali, iaitu pada 1989 dan dua kali pada 2006. Pembedahan pintasan jantung yang dilaluinya pada 2007 tidak menghentikannya untuk terus hidup aktif. Antara 2022 hingga 2024, beliau beberapa kali dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana jangkitan pernafasan dan keletihan. Namun setiap kali itu, beliau pulih dengan cepat dan kembali ke pentas awam.

Dr Mahathir juga diketahui sebagai seorang yang aktif secara fizikal. Sebelum ini beliau pernah menunggang kuda, berbasikal di sekitar Putrajaya dan melakukan senaman ringan secara berkala.

Lebih penting, beliau tidak pernah membiarkan mindanya kaku. Membaca buku, menulis, memberi pandangan menerusi media sosial dan mengikuti perkembangan semasa adalah antara pengisian hidupnya. Bagi bekas Perdana Menteri, menjaga kesihatan bukan hanya melibatkan tubuh, tetapi akal dan emosi.

Selain politik, Dr Mahathir mempunyai pelbagai minat termasuk membina model bot dan kereta kecil bertenaga wap, membaca novel pengembaraan dan mencatat pengalaman hidup dalam tulisan. Dalam satu wawancara sebelum ini, beliau menyatakan bahawa hobi dan kerja teknikal membantunya mengekalkan keupayaan berfikir dan memberi ketenangan dalam menghadapi tekanan.

Berdasarkan kecenderungan dalam tahun-tahun sebelum ini, ulang tahun kelahiran Dr Mahathir disambut secara sederhana dan beliau sering menggunakan kesempatan itu untuk mengucapkan terima kasih kepada rakyat atas ingatan dan sokongan.

Pada ulang tahunnya ke-94, beliau pernah berkata bahawa harapannya ialah “untuk menamatkan kerja meletakkan Malaysia kembali di landasan pemulihan.”

Seratus tahun lalu, beliau dilahirkan di Alor Setar, Kedah, dalam sebuah keluarga guru. Hari ini, beliau masih membaca akhbar, mengikuti perkembangan antarabangsa dan aktif mengulas isu nasional, sekaligus membuktikan bahawa usia, jika disertai dengan disiplin dan prinsip hidup yang jelas, bukan penghalang untuk kekal relevan.

Dalam dunia yang sering berubah pantas, Dr Mahathir sebagai negarawan yang masih berupaya berdiri teguh dengan pandangannya menjadi simbol kekuatan peribadi yang jarang dimiliki pemimpin moden.

Sepanjang hayat politiknya, Dr Mahathir meninggalkan kesan besar terhadap wajah Malaysia moden. Di bawah pentadbirannya, beliau memperkenalkan dasar-dasar yang tidak pernah terfikir seperti Dasar Pandang ke Timur, penswastaan ekonomi, dan projek mega seperti Menara Berkembar Petronas, Litar Sepang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pusat pentadbiran Putrajaya.

Dr Mahathir diiktiraf sebagai tokoh yang memodenkan Malaysia, mengangkat industri berat dan mempercepatkan proses perbandaran. Beliau juga memainkan peranan penting dalam memperkasakan identiti bangsa dan memperjuangkan suara negara membangun di peringkat antarabangsa, termasuk melalui gerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Namun, legasi beliau tidak sunyi daripada kontroversi. Kritikan terhadap pendekatan kepimpinan `keras’ hingga dilabelkan oleh pembangkang sebagai `Maha Zalim’, isu kebebasan media dan hak asasi, mewarnai sejarah pentadbirannya.

Antara episod paling bersejarah dalam kerjaya politiknya ialah pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998, hingga mencetuskan gerakan reformasi dan peralihan besar dalam landskap politik Malaysia.

Hubungan kedua-dua tokoh ini kekal tegang selama dua dekad sebelum berlaku perdamaian politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Kerjasama semula antara Dr Mahathir dan Anwar menjelang 2018 memungkinkan pembentukan kerajaan Pakatan Harapan (PH), sekali gus menumbangkan Barisan Nasional (BN) buat kali pertama sejak merdeka. 

Namun, hubungan itu sekali lagi renggang selepas kejatuhan kerajaan tersebut pada 2020. Sehingga kini, hubungan politik Dr Mahathir dan Anwar yang kini Perdana Menteri, kekal kompleks, sering bergolak antara prinsip, pengaruh dan sejarah peribadi yang panjang.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa beliau adalah arkitek utama kepada transformasi struktur ekonomi dan pentadbiran negara sepanjang era 1980-an hingga awal 2000-an, dan sekali lagi muncul sebagai penyatu politik selepas PRU-14.

Dr Mahathir bukan sekadar tokoh sejarah dan  hingga kini, beliau masih sebahagian daripada naratif politik negara. Hari ini, genap satu abad kehidupannya, beliau kekal sebagai sosok yang dihormati, dikritik, disanjung dan dikenang dalam satu figura yang tidak pernah berhenti berjuang untuk tanah air.

Biodata Tun Dr Mahathir Mohamad

Nama penuh: Tun Dr Mahathir bin Mohamad

Tarikh lahir: 10 Julai 1925

Tempat lahir: Alor Setar, Kedah, Tanah Melayu (kini Malaysia)

Umur: 100 tahun

Kaum: Melayu

Agama: Islam

Status perkahwinan: Berkahwin dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali

Anak-anak: 7 orang

Pendidikan awal:

Sekolah Melayu Seberang Perak, Alor Setar

Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar

Pendidikan tinggi:

King Edward VII College of Medicine, Singapura (Lulus sebagai doktor perubatan, 1953)

Kerjaya Awal

Pegawai perubatan kerajaan (1953–1957)

Membuka klinik swasta “MAHA Klinik” di Alor Setar selepas meletak jawatan kerajaan

Mula menulis di akhbar Straits Times dengan nama pena “Che Det”

Kerjaya Politik

Menyertai UMNO: 1946

Ahli Parlimen Kota Setar Selatan: 1964–1969

Dipecat dari UMNO susulan krisis politik 1969, tetapi kembali semula pada 1972

Jawatan Kabinet:

Menteri Pelajaran (1974–1977)

Timbalan Perdana Menteri (1976–1981)

Menteri Perdagangan dan Industri (1978–1981)

Menteri Kewangan (1998–1999)

Menteri Dalam Negeri (1986–1999)

Menteri Pertahanan (1981–1986)

Perdana Menteri Malaysia:

Kali pertama: 16 Julai 1981 – 31 Oktober 2003

Perdana Menteri ke-4

Pemerintahan selama 22 tahun, paling lama dalam sejarah Malaysia

Kali kedua: 10 Mei 2018 – 24 Februari 2020

Perdana Menteri ke-7

Menang atas tiket Pakatan Harapan, menjadi PM semula pada usia 93 tahun

Sumbangan Penting

Memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur

Memacu penswastaan dan perindustrian negara

Membina bandar pentadbiran Putrajaya, KLIA, Menara Berkembar Petronas

Pemodenan sistem pendidikan dan infrastruktur

Memperjuangkan hak negara membangun di pentas dunia (NAM, OIC)

Penulis buku termasuk The Malay Dilemma, A Doctor in the House, Capturing Hope

Anugerah dan Pengiktirafan

Gelaran Tun (2003)

Tokoh Maal Hijrah 1998

Tokoh Negara ASEAN

Diterima masuk dalam Guinness World Records sebagai Perdana Menteri tertua di dunia

Tokoh Politik Dunia oleh pelbagai universiti dan pertubuhan antarabangsa

Fakta Menarik

Satu-satunya pemimpin Malaysia yang menjadi perdana menteri dua kali di bawah dua parti berbeza

Pemimpin tertua di dunia ketika kembali memegang jawatan sebagai PM pada 2018

Aktif menulis di blog chedet.cc

Masih menulis, membaca dan mengikuti perkembangan politik walaupun berusia 100 tahun

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Anwar ucap selamat ulang tahun ke-100 kepada Dr Mahathir

Next Post

Kenyataan Zahid guris hatiumat Islam, cemar maruahkepimpinan

Related Posts