Tarif AS jadi fokus utama Mesyuarat ASEAN di Malaysia

BANGI, 13 MUHARRAM – Menteri Luar negara Asia Tenggara bermesyuarat hari ini ketika rantau ini berdepan ketidaktentuan baharu akibat tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS), selain pertikaian wilayah yang memuncak antara Thailand dan Kemboja yang dikhuatiri boleh menjejaskan perpaduan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Mesyuarat 10 negara anggota di Kuala Lumpur, disusuli dengan siri mesyuarat pada Khamis dan Jumaat antara blok tersebut dan rakan perdagangan utama, termasuk AS, China, Jepun, Rusia, India dan Kesatuan Eropah.

Menteri Luar China, Wang Yi dan rakan sejawat dari Rusia, Sergei Lavrov, dijangka menghadiri mesyuarat itu.

Begitu juga Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, yang membuat lawatan sulung ke Asia bagi meredakan ketegangan hubungan dengan sekutu dan rakan serantau yang terkesan dengan strategi tarif Presiden AS, Donald Trump.

Isnin lalu, Trump mengumumkan kadar tarif baharu yang tinggi, antara 25 hingga 40 peratus ke atas enam negara Asia Tenggara walaupun beberapa negara cuba memberikan konsesi besar dan berunding untuk kadar yang lebih rendah.

ASEAN yang sangat bergantung kepada eksport merupakan blok ekonomi kelima terbesar dunia secara kolektif, dengan beberapa ahli mendapat manfaat daripada penjajaran semula rantaian bekalan dari China. 

Setakat ini, hanya Vietnam berjaya mencapai perjanjian yang menurunkan kadar tarif daripada 46 kepada 20 peratus.

Indonesia, Thailand dan Malaysia menyatakan akan mengadakan rundingan lanjutan sebelum pelaksanaan tarif bermula pada 1 Ogos.

Menurut draf kenyataan bersama yang diperoleh Reuters, Menteri Luar ASEAN dijangka menyuarakan “kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan global yang semakin meningkat serta ketidaktentuan dalam landskap ekonomi antarabangsa, terutama tindakan unilateral berkaitan tarif.”

Draf kenyataan bertarikh 7 Julai, iaitu sebelum kadar tarif terbaharu diumumkan, tidak menyebut secara langsung AS dan menggunakan bahasa yang mirip kenyataan pemimpin ASEAN pada Mei lalu. Kedua-duanya menyatakan bahawa tarif adalah “tidak berkesan dan berisiko memburukkan lagi pemecahan ekonomi global.”

Blok ASEAN sebelum ini menyatakan pada April lalu bahawa mereka tidak akan mengambil langkah balas dan pemimpinnya berikrar bahawa sebarang perjanjian dua hala dengan Washington tidak akan memudaratkan ahli ASEAN lain.

Pakar ekonomi kanan ASEAN di OCBC, Lavanya Venkateswaran berkata, negara seperti Vietnam kini berdepan ketidaktentuan tambahan akibat tarif yang menyasarkan penghantaran semula barangan, terutama produk dari China yang masih terdapat persoalan mengenai pelaksanaan dan penguatkuasaan dasar itu.

“Intipatinya ialah keadaan akan menjadi semakin rumit selepas ini,” kata Venkateswaran.

Isu ini turut menjadi lebih kompleks apabila Trump mengancam untuk mengenakan tambahan 10 peratus tarif terhadap negara-negara yang menjalin kerjasama dengan blok BRICS. Indonesia merupakan ahli penuh, manakala Malaysia, Thailand dan Vietnam ialah negara rakan BRICS.

ASEAN turut dijangka akan mempromosikan satu perjanjian zon bebas senjata nuklear di Asia Tenggara. Mesyuarat kali ini juga mungkin menyaksikan usaha Thailand dan Kemboja untuk meredakan pertikaian yang membawa kepada pergerakan ketenteraan di sempadan mereka serta mencetuskan krisis bagi kerajaan Thailand yang kini berada di ambang kejatuhan.

Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, digantung tugas sementara menunggu perbicaraan mahkamah berkaitan perbualannya dengan bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen, kejadian yang menurut pihak lawan menjejaskan kedaulatan dan integriti Thailand.

Pertikaian ini meningkatkan lagi tekanan terhadap ASEAN untuk mengekalkan pendirian bersama yang kukuh, dalam masa yang sama berdepan isu-isu lain yang masih belum diselesaikan seperti perang saudara yang semakin meruncing di Myanmar dan rundingan yang berlarutan dengan Beijing mengenai kod tatakelakuan di Laut China Selatan. – REUTERS

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sepanyol lancar siasatan jenayah perang ke atas Netanyahu

Next Post

PrEP tanpa izin ibu bapa ancaman halus terhadap institusi keluarga Islam

Related Posts