Sidang DUN Sabah Ke-16 mungkin terakhir – Hajiji

BANGI, 13 MUHARRAM – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, tidak menolak kemungkinan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang berakhir semalam merupakan yang terakhir sebelum DUN dibubarkan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberitahu tarikh pembubaran itu masih belum dimuktamadkan dan perbincangan mengenainya masih dilakukan.

Mesyuarat Penggal Ke-2, Penggal Ke-5 2025 DUN Sabah Ke-16 berlangsung dua hari, berakhir semalam.

Ahad lalu, Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya berkata, DUN Sabah ke-16 akan terbubar secara sendiri pada 11 November ini jika DUN tidak dibubarkan sebelum tarikh itu.

Menurut Kadzim, tempoh lima tahun DUN Sabah dikira bermula dari tarikh persidangan pertama DUN Sabah Ke-16 iaitu pada 12 November 2020 menyebabkan tempoh tamat penggal lima tahun itu adalah pada 11 November ini.

Beliau berkata demikian bagi memperjelaskan salah faham dalam kalangan masyarakat mengenai tarikh DUN Sabah akan terbubar secara sendiri dengan menganggap permulaan tempoh lima tahun DUN Sabah adalah pada tarikh mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 pada 26 September 2020, atau 22 September 2020 untuk undian awal.

Sementara itu, Hajiji berkata, GRS sudah melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat Sabah menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif sepanjang hampir lima tahun mentadbir negeri itu bersama Pakatan Harapan (PH).

Katanya, inisiatif berkenaan termasuk memberikan peruntukan besar untuk pelajar dan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan yang tidak pernah dilaksanakan oleh pentadbiran sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada rakyat sama ada untuk memberikan peluang sekali lagi kepada gabungan GRS-PH untuk menerajui kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

“Kita sudah buat yang terbaik walaupun masih banyak lagi yang patut kita lakukan. Ada lagi masalah, masalah air yang kita warisi dari dahulu. 

“Tetapi kerajaan hari ini telah dan sedang melaksanakan projek menaik taraf loji-loji kita untuk memperbaiki bekalan air di Sabah,” katanya selepas persidangan DUN Sabah.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Zahid mohon maaf, akui silap kaitkan malaikat dalam ucapan

Next Post

Sepanyol lancar siasatan jenayah perang ke atas Netanyahu

Related Posts