PAS kecam guna sekolah untuk lelong arak

BANGI, 13 MUHARRAM – PAS menggesa Kementerian Pendidikan segera menjalankan siasatan penuh dan mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terlibat  membenarkan penggunaan dewan sekolah untuk majlis lelongan arak.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku di Pontian, Johor, merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab dan amat memalukan.

Katanya, sekolah adalah institusi untuk mendidik dan bukan tempat melahirkan budaya negatif.

Selain itu, katanya Kementerian Pendidikan perlu memastikan dasar dan garis panduan penggunaan premis sekolah oleh pihak luar diperketatkan supaya tidak lagi berlaku kejadian yang mencemarkan imej institusi pendidikan negara.

“Sekolah perlu kembali menjadi tempat yang dihormati, mendidik nilai, dan menyatukan masyarakat, bukan menjadi tempat yang menjatuhkan maruah pendidikan.

“Kami meminta guru, pentadbir pendidikan, PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), masyarakat sivil dan pihak berkuasa bersama-sama mempertahankan kesucian peranan sekolah dan guru dalam membina generasi masa depan yang rabbani, berintegriti dan bermaruah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, peristiwa itu menimbulkan persoalan besar mengenai pentadbiran sekolah dan juga Kementerian Pendidikan.

“Adakah sekolah kini bebas digunakan oleh mana-mana pihak luar untuk menganjurkan aktiviti yang bertentangan dengan nilai moral, budaya dan agama masyarakat Malaysia? Sekolah bukan tempat hiburan murahan.

“Lebih mengecewakan ialah peristiwa ini berlaku ketika negara masih mengangkat tema Hari Guru tahun ini iaitu `Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’”.

“Ke mana hilang cita-cita untuk menjadikan persekitaran institusi pendidikan sebagai agenda reformasi dan ejen perubahan masyarakat jika nilai-nilai asas pendidikan diabaikan oleh pihak yang sepatutnya memeliharanya?,” katanya.

Mohamed Fadzli berkata, warga Malaysia perlu menekankan kepentingan persekitaran guru dan murid bukan sekadar persekitaran dalam penyampaian ilmu, tetapi sebagai tempat pembinaan akhlak, pengukuhan nilai dan pembentukan masa depan masyarakat.

Katanya, tindakan membenarkan premis sekolah digunakan untuk aktiviti seperti di Pontian adalah satu penghinaan terhadap institusi pendidikan sebagai ejen perubahan komuniti.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

PrEP tanpa izin ibu bapa ancaman halus terhadap institusi keluarga Islam

Next Post

Mengapa mati lemas dianggap syahid?

Related Posts