Pelantikan Hakim: Cadangan tubuh RCI disambut baik

BANGI,12 MUHARRAM – Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman menyambut baik seruan sembilan Ahli Parlimen PKR diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) berhubung isu pelantikan hakim.

Peguam, Rafique Rashid berkata, sidang media yang diadakan oleh Ahli Parlimen Pandan semalam itu juga menunjukkan bahawa krisis perlembagaan yang menghantui kehakiman negara hari ini adalah merupakan isu nasional dan perlu dipandang serius semua termasuk pihak kerajaan.

“Seperti umum sedia maklum, tugas dan bidangkuasa sesuatu RCI itu akan ditentukan selalunya oleh kerajaan dan dalam situasi yang memerlukan siasatan ke atas isu-isu kepentingan awam.

“Tetapi dalam situasi kemelut kehakiman ini, ianya melibatkan juga kedudukan Perdana Menteri yang terpalit dengan kontroversi berkaitan kegagalan menjalankan tugasnya di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan bersama semalam.

Rafique berkata, isu mutakhir ini terutamanya dakwaan membabitkan seorang Hakim Mahkamah Persekutuan terlibat dalam menganggu-gugat integriti kehakiman, memohon pertukaran hakim dan membuat cubaan untuk mempengaruhi keputusan Mahkamah memerlukan penubuhan satu Tribunal di bawah Perkara 125(3) Perlembagaan.

Katanya, perlu difahami bahawa dakwaan tersebut kini sedang berlegar di khalayak ramai.

Ujar beliau, memohon suatu RCI yang berada di bawah kelolaan Kabinet bakal menimbulkan lebih banyak persoalan dan persepsi tidak sihat terutamanya melibatkan integriti kehakiman.

“Tribunal adalah cara terbaik menangani isu dakwaan sebegini kerana seorang hakim hanya wajar dibicarakan oleh hakim-hakim.

“Situasi kini makin genting. Dari mula Sidang Meja Bulat pada 23 Jun lalu, Sekretariat telah menekankan berulang kali bahawa isu ini memerlukan perhatian menyeluruh semua pemegang taruh, terutamanya rakyat, kerana sistem kehakiman harus berfungsi sebagai benteng daripada eksekutif yang berkuasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Rafique berkata, sejak itu, timbul pula laporan polis yang menimbulkan dakwaan terhadap seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang disebut-sebut bakal menghuni posisi kanan dalam Kehakiman.

Ujarnya, perkara itu disusuli dengan kegagalan Perdana Menteri melaksanakan tanggungjawab sehingga seorang Hakim Kanan perlu memangku dua jawatan selaku Pemangku Ketua Hakim Negara dan Hakim Besar Malaya, manakala seorang lagi Pemangku Presiden Mahkamah Rayuan.

“Kini, Majlis Peguam pula akan menganjurkan ‘Walk For Justice’ dijadual pada 14 Julai 2025mjam 2 petang bermula dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri.

“Tidak lupa juga pemanggilan mesyuarat oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tanpa mengikut undang-undang.

“Rakyat harus difahamkan bahawa segala kemelut ini ada kaitannya dengan posisi konflik kepentingan Perdana Menteri kerana kes peribadinya yang belum selesai. Ini berlaku buat pertama kali dalam sejarah negara,” katanya.

Dalam pada itu, Rafique menjelaskan bahawa Sekretariat pada 23 Jun lepas menyatakan bahawa salah satu resolusinya untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bercuti dari jawatan Perdana Menteri sehingga kesnya selesai.

Namun katanya, situasi kini telah berubah dan semakin meruncing, maka resolusi terkini adalah untuk beliau meletakkan jawatan tersebut.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pembelian senjata paling terdedah kepada amalan rasuah

Next Post

Isham Jalil bebas dakwaan hina mahkamah isu 1MDB, SRC  

Related Posts