BANGI, 12 MUHARRAM – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengenakan perintah prosiding komital atau penghinaan mahkamah terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil.
Ini berikutan kritikannya terhadap kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Hakim K Muniandy berkata, dakwaan penghinaan yang dibangkitkan, tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan mahkamah yang mengendalikan dua kes itu.
Menurutnya, dakwaan bahawa Isham selaku responden menghina badan kehakiman, tidak menjejaskan keyakinan orang awam terhadap sistem keadilan negara.
Katanya, undang-undang komital bukan bertujuan untuk melindungi maruah hakim, sebaliknya membela hak orang awam dengan memastikan pentadbiran keadilan tidak dihalang.
“Dengan perkembangan media sosial, kritikan terhadap hakim dan keputusan mereka adalah perkara biasa, seperti yang dijawab oleh responden dalam jawapannya kepada perintah tunjuk sebab.
“Sebagai hakim, tugas kami menuntut supaya mengadili kes dengan kebebasan mutlak, tidak pilih kasih dan memastikan integriti tidak dipertikai,” katanya ketika penghakiman, hari ini.
Beliau berkata, ia bukan suatu yang mudah kerana hakim perlu teguh dalam menghadapi cabaran dan kritikan, demi memastikan neraca keadilan tidak condong akibat tekanan luar atau desakan pendapat awam.
Katanya, penghakiman dalam kes rasuah membabitkan 1MDB dan SRC jelas berdasarkan fakta dan undang-undang, bukannya emosi atau tekanan masyarakat.
Sehubungan itu, katanya perkara itu menunjukkan keadilan dipandu oleh prinsip undang-undang, bukan gelombang pendapat awam atau serangan tidak berasas.
Isham atau nama sebenarnya, Hizatul Isham Abdul Jalil, didakwa mempersoalkan prosiding perbicaraan serta rayuan Najib termasuk proses penarikan diri Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang pernah mendengar kes 1MDB.
Pada 4 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan AGC untuk memulakan prosiding komital, dengan permohonan agar hukuman penjara atau denda dikenakan terhadap Isham.
Menurut AGC, kenyataan Isham yang dibuat dalam satu temu bual bertajuk ‘Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?’ mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi kehakiman dan boleh menggugat keyakinan awam terhadap badan itu.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi