SANAA,11 MUHARRAM — Tentera Israel mengebom tiga pelabuhan dan sebuah loji janakuasa di kawasan yang dikuasai Houthi di Yaman, sekali gus mencetuskan serangan balas kumpulan itu yang melepaskan peluru berpandu ke arah wilayah Israel.
Tentera Israel menyatakan telah menyerang pelabuhan Hodeidah, Ras-Isa dan as-Salif di pesisir Laut Merah serta loji janakuasa Ras Kathib. Rejim Zionis juga mendakwa menyerang sistem radar di kapal Galaxy Leader, yang dirampas oleh Houthi dan masih berlabuh di pelabuhan Hodeidah. Tiada laporan segera mengenai korban jiwa.
Serangan Israel semalam merupakan yang pertama ke atas Yaman dalam tempoh hampir sebulan dan berlaku selepas tentera mendakwa memintas sebuah peluru berpandu yang ditembak oleh Houthi pada awal hari itu.
Kumpulan Houthi yang menguasai kawasan paling padat penduduk di Yaman membalas serangan terbaharu Israel dengan melancarkan lebih banyak peluru berpandu ke arah Israel pada awal pagi hari ini.
Tentera Israel berkata, dua peluru berpandu ditembak dari Yaman dan cuba dipintas. Serangan itu menyebabkan siren amaran berbunyi di Baitulmaqdis, Hebron dan kawasan berhampiran Laut Mati.
Perkhidmatan kecemasan Israel berkata, setakat ini tiada laporan mengenai kecederaan atau kesan hentaman daripada peluru berpandu itu.
Houthi menyatakan serangan mereka terhadap Israel adalah sebagai solidariti bersama rakyat Palestin di Gaza yang diserang oleh Israel. Kumpulan itu menembak ratusan peluru berpandu ke arah Israel dan melancarkan lebih 100 serangan ke atas kapal perdagangan di koridor penting Laut Merah sejak perang Israel di Gaza bermula pada 2023.
Houthi menghentikan serangan mereka selepas gencatan senjata antara Hamas dan Israel pada Januari lalu, tetapi menyambung semula serangan selepas Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Yaman pada 15 Mac lalu, yang mengorbankan hampir 300 orang dalam minggu-minggu berikutnya.
Houthi perlekeh serangan
Peningkatan ketegangan terbaharu ini berlaku pada saat genting di Timur Tengah ketika kemungkinan gencatan senjata dalam perang Israel di Gaza masih belum pasti, dan ketika Tehran mempertimbangkan sama ada untuk memulakan semula rundingan mengenai program nuklearnya selepas serangan udara Amerika Syarikat merosakkan tapak nuklear Iran paling sensitif.
Di Yaman pada malam Ahad, saluran berita TV Al Masirah yang bersekutu dengan Houthi melaporkan bahawa serangan mengenai bandar pelabuhan Hodeidah, manakala agensi berita Saba mengesahkan serangan ke atas tiga pelabuhan serta loji janakuasa itu.
Jurucakap Houthi, Ameen Hayyan Yemeni, berkata pertahanan udara kumpulan itu telah memaksa “sebahagian besar” pesawat perang Israel berundur.
Peluru berpandu permukaan-ke-udara buatan tempatan digunakan untuk bertindak balas, “menyebabkan kekeliruan besar dalam kalangan juruterbang musuh dan bilik operasi mereka,” tulisnya dalam kenyataan di X.
Wartawan Al Jazeera, Nabil Alyousefi yang melaporkan dari ibu negara Yaman, Sanaa, berkata Houthi cuba memperkecilkan kesan serangan di Hodeidah.
“Houthi mendakwa pertahanan udara mereka yang menggunakan peluru berpandu permukaan ke udara buatan tempatan, berkesan menghadapi serangan Israel, dengan sumber menyatakan berlaku pertempuran sekitar 30 minit antara pertahanan udara Houthi dan pasukan Israel,” kata Alyousefi.
“Houthi setakat ini tidak melaporkan sebarang kerugian fizikal atau nyawa, dan menegaskan bahawa angkatan bersenjata mereka telah menangkis semua pencerobohan Israel. Mereka juga menekankan kesiapsiagaan untuk menghadapi sebarang serangan Israel pada masa hadapan dan menyatakan kesediaan untuk menyasarkan wilayah Israel sebagai tindak balas,” tambahnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi