GAZA,11 MUHARRAM – Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menyambut baik kenyataan bersama yang dikeluarkan blok negara-negara BRICS, yang menuntut gencatan senjata serta-merta di Gaza dan pengunduran tentera penjajah Zionis dari wilayah itu serta semua tanah Palestin yang diduduki.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena penutup Sidang Kemuncak BRICS yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil, melibatkan 10 negara anggota.
Dalam reaksi balasnya, Hamas menyeru supaya tekanan antarabangsa segera dikenakan ke atas entiti Zionis agar menghentikan jenayah kejam terhadap rakyat Palestin.
“Kami menyeru negara-negara BRICS dan seluruh negara dunia untuk memberi tekanan ke atas kerajaan penjajah pengganas (Israel) agar mematuhi undang-undang antarabangsa.
“Rejim juga perlu menghentikan pencerobohan dan perang pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam tidak berdosa di Semenanjung Gaza, serta menamatkan sekatan jenayah yang dikenakan ke atas dua juta suku penduduk di wilayah itu,” menurut kenyataan Hamas.
Blok BRICS yang kini dianggotai Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ethiopia dan Arab Saudi, dilihat semakin berpengaruh dalam menyuarakan isu-isu global berdasarkan prinsip keadilan dan kedaulatan. – AL JAZEERA
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi